REMBAU - Jika minggu lalu mereka mendaki Bukit Kepayang setinggi 205 meter untuk berbuka puasa, kali ini mereka mendaki Gunung Datuk yang mempunyai ketinggian 884 meter pula untuk bersahur.
Seawal jam 2.15 pagi, seramai 25 pendaki yang kebanyakannya ahli Persatuan Malim Gunung Negeri Sembilan (PMGNS) memulakan pendakian dan berjaya sampai ke puncak jam 4 pagi pada Ahad.
Pengerusinya, Ahmad Nazrul Razali, 37, berkata, aktiviti tersebut bukanlah perkara baharu buat mereka namun berbezanya kali ini kerana mendapat penyertaan daripada orang luar.
"Ini tahun keempat kami buat 'kerja gila' macam ini dan tak sangka pula apabila diuar-uarkan ramai yang berminat menyertainya.
"Masing-masing bawa makanan secara 'potluck' dan untuk mengurangkan beban barang yang dibawa ketika mendaki, nasi dan air kami masak ketika sampai di puncak," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, pendakian mereka berjalan lancar namun sedikit mencabar kerana trek yang basah selepas hujan.
Ujarnya, keadaan cuaca pula agak panas dan mereka juga perlu lebih berhati-hati memandangkan penglihatan yang terhad pada waktu malam.
"Selepas solat subuh, kami berehat sekejap sebelum turun dan sampai ke bawah kira-kira jam 10 pagi.
"Kami juga akan jadikan aktiviti ini sebagai acara tahunan dan akan mendaki gunung yang berbeza pula akan datang," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28