JEMPOL- Meskipun bersahur dan berpuasa tanpa keluarga di sisi, namun 31 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasoh Dua yang tinggal di asrama dekat sini tetap bersemangat menunaikan ibadat itu dengan baik sepanjang Ramadan kali ini.
Lebih menggembirakan apabila mereka disantuni Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Pasoh Dua menerusi Program Kita Sekampung Singgah Sahur pada Ahad.
Pelajar Danish Ramdhani Ahmad,13, berkata, kebiasaan sepanjang Ramadan pelajar hanya dikejutkan oleh warden tetapi pada kali ini berbeza sekali dengan kahadiran abang-abang dari MBFM.
"Seronoklah program macam ini sebab lain sikit daripada kebiasaan terutamanya bila dapat lakukan aktiviti keagamaan bersama-sama termasuk bersahur.
"Apabila ada pihak yang datang menyantuni kami dan makan bersama, ia mengimbau kenangan ketika bersahur dengan keluarga," katanya.
Seorang lagi pelajar, Ariff Azfar Mohamad,15, berharap program seumpama itu dapat dilaksanakan lagi pada tahun berikutnya.
"Teruja lah dapat sahur dengan abang-abang MBFM, ia satu pengalaman yang tidak akan dapat saya lupakan. Lain sekolah lain pengalamannya," katanya.
Sementara itu Pengerusi MBFM Felda Pasoh Dua, Yasirruddin Hashim berkata, inisiatif itu bagi mengeratkan ukhuwah dengan pelajar berkenaan.
"Program Kita Sekampung Singgah Sahur bukan hanya memberi tumpuan kepada komuniti setempat tetapi juga pelajar sekolah.
"Ketika bersahur pelbagai cerita dikongsi bersama pelajar. Terima kasih kepada pengurusan sekolah kerana membenarkan program ini dilaksanakan," katanya.
Hadir sama pada program berkenaan Pengerusi MBFM Wilayah Raja Alias, Tauw Fek Maslam dan 10 barisan Exconya.