JPN lulus permohonan 93,455 Mekar

Iklan
Badrul Hisham (kiri) menyerahkan MyKad baharu kepada penghuni RSK, Rohani Abdullah (tengah).

KOTA BHARU - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meluluskan 93,455 permohonan menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di 14 negeri dalam tempoh lebih tiga tahun bermula 2020 hingga 15 Mac lalu.

Ketua Pengarah Pendaftaran, Badrul Hisham Alias berkata, kelulusan permohonan itu melibatkan pemberian antaranya dokumen pengenalan diri termasuk MyKad, sijil lahir selain turut melibatkan pengeluaran sijil kematian dan sijil perkahwinan (sivil).

Iklan
Iklan

Menurut beliau, dalam tempoh itu juga sejumlah 5,273 program Mekar dilaksanakan dan pihaknya menerima permohonan kes-kes yang membabitkan orang ramai termasuk golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar serta penduduk yang tinggal di pedalaman.

"Mekar ialah pendekatan proaktif JPN dalam memastikan setiap penduduk di Malaysia yang layak, dikeluarkan dokumen pengenalan diri sekali gus membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan yang ditawarkan oleh pihak Kerajaan.

Badrul Hisham (kanan) bermesra dengan penghuni di RSK.

Iklan

"JPN juga komited memberi perkhidmatan terus kepada masyarakat semasa di lapangan tanpa mengira latar belakang, usia dan faktor muka bumi seperti pedalaman serta perkampungan orang asli,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Mekar Satunan Kasih Warga Emas Rumah Seri Kenangan (RSK) di Pengkalan Chepa di sini, pada Ahad.

Iklan

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Kelantan, Asrehan Ab Razak.

Badrul Hisham sebelum itu turut menyerahkan dokumen pengenalan diri kepada dua OKU, Muhammad Ruslan Ali, 62, di Wakaf Bharu, Tumpat dan Ahmad Hariz Rosli,12, yang terlantar di Kubang Kerian di sini.

Beliau mengulas lanjut, tiga negeri merekodkan permohonan paling tinggi melalui program Mekar sejak Januari tahun ini hingga 15 Mac lalu ialah Putrajaya, Perak dan Selangor.

Badrul Hisham (dua dari kiri) turut mengagihan sumbangan kuih raya kepada penghuni di RSK.

Dalam pada itu katanya, jabatan berkenaan juga tidak pernah sesekali meminggirkan komuniti Orang Asli dalam isu pemberian pengenalan diri atau daftar kelahiran bahkan lokasi perkampungan mereka termasuk dalam jadual pelaksanaan program Mekar.

"Kami seboleh mungkin akan pergi ke kampung-kampung Orang Asli walaupun menghadapi kekangan seperti bentuk muka bumi dan jarak perjalanan jauh yang memakan masa lama hingga 12 jam.

"JPN juga akan memastikan program sebegini dibuat secara berkala kepada komuniti itu supaya Orang Asli juga dapat memiliki pengenalan diri,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28