Tragedi menjala ikan: Anak sulung ditemui lemas, dua masih hilang

Iklan
Satu mayat kanak-kanak lelaki yang juga anak sulong keluarga terbabit dijumpai pada jam 7 petang.

SERDANG - Dua beranak selamat, seorang dijumpai mati lemas, manakala dua lagi masih belum dijumpai selepas arus deras ketika aktiviti menjala ikan di Saliran Longkang Monsun (Monsoon Drain) di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan di sini, pada Ahad.

Mangsa yang selamat ialah Ahmad Suriadi (bapa), 40 dan anaknya Mohd Alif, 9, manakala yang dijumpai dan disahkan meninggal dunia ialah Mohd Diham, 10.

Iklan
Iklan

Dua lagi masih belum ditemui iaitu Juliana (ibu), 38 dan anak bongsunya, Riska Amelia, 4.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 4.35 petang membabitkan mangsa daripada satu keluarga warga Indonesia.

Iklan

Menurutnya, berdasarkan keterangan lelaki dewasa itu, mereka sekeluarga ke lokasi itu untuk memancing dan menjala kira-kira jam 3.30 petang.

Pasukan bomba menjalankan operasi mencari mangsa yang masih hilang di Saliran Longkang Monsun (Monsoon Drain) di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan, pada Ahad.

"Pada awalnya, keadaan monsoon drain cetek selain cuaca yang tidak hujan.

Iklan

"Tidak lama kemudian berlaku hujan dan air deras menyebabkan mereka yang berdiri di simen longkang itu dipercayai tergelincir sebelum terjatuh di kedalaman air yang deras kira-kira 1.2 meter," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa (bapa) dilaporkan selamat sebelum membuat panggilan kecemasan 999.

Katanya, kira-kira jam 5.30 petang, mangsa kedua yang juga anak kedua berusia sembilan tahun dijumpai oleh orang awam dalam keadaan selamat.

"Usaha pencarian kemudian berjaya menemui mangsa ketiga iaitu anak sulong keluarga itu berusia 10 tahun di kawasan tebing kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian pada jam 7 petang.

"Pasukan bomba masih giat jalankan operasi mencari dua lagi mangsa yang masih hilang," katanya.

Tambahnya, siasatan awal mendapati lelaki Indonesia terbabit telah menetap di Malaysia sejak kira-kira 10 tahun lalu dengan melakukan kerja-kerja kontrak.

Anbalagan (tengah) hadir ke lokasi kejadian kes mangsa yang dikhuatiri hilang di Saliran Longkang Monsun (Monsoon Drain) di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan, pada Ahad.

"Mengikut keterangannya (bapa), mereka sekeluarga telah ke lokasi terbabit dua ke tiga kali untuk menjala ikan di mana hasilnya akan dijual sebagai sumber pendapatan," ujarnya.

Sementaa itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang dan BBP Shah Alam dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan.

"Unit Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) turut terlibat dalam operasi ini," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!