BERMULA dengan hanya satu resipi iaitu mi rebus, tetapi kini restoran Zainal’s Place di Johor Bahru, boleh berbangga apabila mampu menyajikan lebih 80 resipi kepada pengunjung dalam satu-satu masa.
Mula beroperasi pada 1976 dan mula berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), restoran ini sememangnya cukup dikenali bukan sahaja oleh masyarakat di sekitar bandar raya ini namun pelancong dari Singapura.
Apa tidaknya, restoran ini sememangnya terkenal dengan pelbagai juadah istimewa yang secara keseluruhannya adalah berasaskan kepada makanan atau resipi negeri Johor.
Berkongsi pengalamannya selaku Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zainal’s Place, Norshahrizan Zainal berkata, dia mula mengambil alih perniagaan tersebut daripada bapanya, pada tahun 2010.
Katanya, setelah mengambil alih perniagaan berkenaan, dia mula menjalankan pelbagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) perniagaan dalam usaha membangunkan lagi perniagaan restoran tersebut.
"Apabila diberikan peluang, saya cuba perbesarkan lagi perniagaan ini dan salah satu hasrat saya adalah bagaimana untuk menarik orang datang ke restoran ini.
"Bukan menarik sahaja kerana ia perlu sesuatu yang menjadi daya penarik untuk orang datang dan dari situlah saya tergerak hati untuk buat promosi terhadap makanan Johor.
"Dari situ saya mula buat kajian dan alhamdulillah, hasilnya promosi saya berjaya dan sehingga kini restoran ini tidak putus-putus menerima kunjungan pelanggan tak kiralah dari Johor atau dari luar Johor,” katanya.
Tambah Norshahrizan, berdasarkan rekod, restorannya itu dikunjungi oleh seramai 600 pelanggan pada hari biasa dan jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan sehingga 1,500 pelanggan pada hujung minggu.
Justeru katanya, dia mula memikirkan kaedah baharu dari segi penyediaan makanan dengan menjadikan tempoh penyediaannya lebih pantas.
"Selain rasa makanan yang sedap, layanan yang terbaik faktor masa penyediaan sesuatu makanan itu juga memainkan peranan bagi memastikan kepuasan pelanggan.
"Oleh itu saya telah membeli beberapa mesin khas bagi kegunaan memasak bagi memastikan proses penyediaan makanan dapat dibuat dengan lebih cepat dengan kuantiti yang sama atau lebih banyak.
"Sebagai contoh, antara mesin memasak di restoran ini mampu menyediakan sebanyak 400 hidangan masakan nasi beriani hanya dalam tempoh beberapa minit sahaja,” katanya.
Disebabkan restorannya memiliki mesin memasak sedemikian, Norshahrizan berkata, restorannya juga pernah diminta untuk menjadi pembekal makanan kepada beberapa pusat pemindahan sementara (PPS), di sekitar Johor Bahru ketika banjir, baru-baru ini.
Malah katanya, ada hospital swasta yang berminat mendapatkan khidmatnya memberikan tunjuk ajar mengenai cara-cara mengendalikan mesin masakan di hospital berkenaan.
"Saya juga sebenarnya duta bagi sebuah syarikat mesin masakan dan apabila ada produk baharu, saya berpeluang untuk menggunakannya dan pengetahuan serta ilmu yang saya dapat, saya kongsikan bersama.
"Kalau semua saya nak buat, memang tak terbuat jawabnya...saya juga yang rugi, jadi lebih baik saya kongsi ilmu yang saya miliki untuk kita sama-sama berjaya.
"Orang sekarang dah mula bagi perhatian kepada food safety, food hygene dan sebagainya...yang penting, adalah makanan yang disediakan adalah bersih, selamat. Sedap itu ALLAH SWT yang bagi,” katanya.
Tambah Norshahrizan, ramai peniaga makanan sebenarnya tidak mengambil kesempatan bagaimana untuk menggandakan jumlah pengeluaran masakan masing-masing pada skala yang lebih besar.
Katanya, masih ramai yang tidak nampak bahawa dengan menggandakan pengeluaran manakan masing-masing, ia boleh membantu meningkatkan lagi perniagaan yang diusahakan.
"Sebagai peniaga, khususnya peniaga makanan, kita sebenarnya perlu sentiasa bersedia untuk menggandakan pengeluaran makanan kita.
"Jika tidak, kita akan jauh ketinggalan dengan pesaing-pesaing lain. Jadi, kita perlu sentiasa cari jalan bagaimana nak jadikan produk kita sebagai sesuatu yang mass barulah kita dapa promosikan produk-produk dalam konteks ini (makanan) kita,” katanya.
Sementara itu, Norshahrizan berkata, dia turut berperanan selaku pengajar kepada beberapa jenama makanan popular di sekitar Johor Bahru.
Katanya, antara jenama berkenaan adalah seperti Al-Mizan, Sedap Corner, JBorn, Nasi Kandar Marwan, Nasi Kandar Hijrah dan sebagainya.
"Kita tak ajar resipi..itu masing-masing punyalah...keistimewaan masing-masing, cuma dari segi pengurusan, penyediaan, timing (masa), kita akan sama-sama kongsi kebaikan.
"Insya-ALLAH, kita sedia berkongsi kepakaran, ilmu dan juga teknologi dalam makanan, tak ada ruginya jika berkongsi malah, kita akan lebih berjaya,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28