ISLAMABAD - Perdana Menteri Pakistan telah mengeluarkan larangan terhadap penggunaan permaidani merah dalam acara rasmi, satu langkah kecil ke arah mengurangkan perbelanjaan berlebih-lebihan di peringkat kerajaan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Keputusan diambil Perdana Menteri Shehbaz Sharif muncul di tengah-tengah cabaran ekonomi yang mencengkam dihadapi kuasa nuklear Asia Selatan itu, lapor media tempatan pada Sabtu.
Kerajaan mengeluarkan notis menyatakan penggunaan permaidani merah dihadkan untuk tujuan protokol pada acara diplomatik.
Terdahulu, Sharif dan Kabinetnya secara sukarela memutuskan untuk tidak mengambil gaji dan faedah istimewa mereka.
Selepas beberapa minggu menggalas tanggungjawabnya, Sharif mengumumkan langkah berjimat-cermat untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Langkah-langkah itu termasuk melarang pembelian kenderaan mewah, menteri-menteri hanya boleh menaiki kapal terbang dengan kelas ekonomi dan perlu membayar bil utiliti mereka sendiri serta tidak menginap di hotel lima bintang.
Pakistan bergelut dengan kenaikan harga barangan dan kemerosotan ekonomi dalam beberapa tahun ini. Inflasi tinggi melangit berpunca daripada kenaikan tenaga elektrik dan produk petroleum merupakan antara cabaran yang cuba diselesaikan kerajaan.
Pakistan telah beberapa kali meminta bantuan pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tetapi syarat yang dikenakan bagi bantuan tabung itu selalunya tidak popular.
Pada tahun lepas, IMF membantu menstabilkan ekonomi Pakistan dengan pakej pinjaman jangka pendek sebanyak AS$3 bilion (RM14.2 bilion) berikutan kebimbangan negara itu tidak mampu membayar hutangnya.
Dengan program pinjaman itu menghampiri penghujungnya, kerajaan yang baharu dipilih ini merancang untuk mendapatkan lagi pinjaman sekurang-kurangnya sebanyak AS$6 bilion (RM28.3 bilion) daripada IMF. - Bernama-dpa
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28