PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan minat terhadap kenderaan hidrogen sambil memuji ia lebih senyap berbanding menggunakan petrol.
Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang selepas menghantar Anwar pulang ke pejabat di bangunan Perdana Putra, di sini dengan menaiki kereta hidrogen.
"Anwar rasa sangat kagum dan beliau beritahu kereta ini sangat senyap berbanding menggunakan minyak," katanya kepada pemberita selepas majlis demonstrasi penggunaan Mobile Hydrogen Refueling Unit dan Kenderaan Berkuasa Hidrogen di Tapak Mobile Hydrogen Refuelling Unit di sini pada Isnin.
Menurutnya, tidak banyak perkara dapat dibualkan memandangkan perjalanan menghantar Anwar hanya memakan masa sekitar lima minit.
"Tetapi beliau memang sedar tentang perkembangan ekosistem hidrogen di dalam negara kita," ujarnya,
Dalam pada itu, Lih Kang berkata, ekosistem kenderaan hidrogen perlu diwujudkan antara pengeluar dan pengguna.
"Faktor pasaran dan permintaan perlu diwujudkan dahulu kerana ini adalah ekosistem baharu di Malaysia," katanya.
Tambah beliau, selain menyasarkan ekonomi hidrogen mencecah RM12 bilion pada 2030, kerajaan juga meletakkan sasaran sifar karbon menjelang tahun 2050.
Ditanya mengenai penjimatan yang dinikmati pengguna, beliau berkata kenderaan hidrogen memerlukan masa yang pendek untuk pengisian penuh iaitu tiga hingga lima minit.
"Perjalanan pula lebih jauh sehingga 1,000KM bagi setiap pengisian dan ia lebih ringan," katanya.
Ditanya mengenai harga pengisian hidrogen, Lih Kang berkata, ia lebih kompetitif berbanding petrol.
"Jika pengeluaran dilakukan secara besar-besaran, saya yakin harganya lebih kompetitif," ujar beliau.
Pada 5 Oktober tahun lalu, Anwar memaklumkan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) membolehkan Malaysia meneroka pasaran hidrogen hijau global bernilai sekurang-kurangnya AS$189.19 bilion menjelang 2050.
Pelaksanaan HETR dijangka dapat menjana pendapatan sehingga RM12.1 bilion dengan anggaran sumbangan antara RM49 bilion hingga RM61 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28