INSIDEN tersalah mengumandangkan azan Maghrib lebih awal hingga menyebabkan ada orang yang berbuka puasa Ramadan sebelum waktunya boleh dikatakan hampir saban tahun berlaku. Hanya berbeza dari segi lokasinya.
Dalam kes terbaharu, Masjid Prima Saujana di Kajang, Selangor terkhilaf apabila melaungkan azan empat minit lebih awal gara-gara masalah teknikal pada Sabtu lalu.
Disebabkan itu, nazir masjid tersebut, Mohamad Asri Harun dalam satu kenyataan pada Ahad memohon maaf dan meminta para jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan pada hari berkenaan perlu menggantikan puasa.
Ada sebab mengapa perlu mengqadakan puasa berkenaan.
Ini kerana, menurut pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus, tersalah buka puasa awal, hukumnya adalah batal ibadah yang dikerjakan itu.
"Semua itu tidak boleh. Oleh itu, berhati-hatilah, jangan gelojoh terlalu lapar, apabila terdengar azan, dia terus makan,” katanya menerusi video yang dikongsikan dalam akaun TikTok @benny_x.
Ia berbeza dengan situasi apabila kita terlajak makan sahur.
Mengulas lanjut, jelas Azhar, mereka yang tersalah makan hingga lebih dari waktu Subuh kerana menyangka belum lagi waktu imsak, hukumnya dimaafkan dan puasa mereka juga sah.
"Contohnya, pembesar suara di surau rosak dan tak mengeluarkan bunyi. Ada orang kampung masih makan lagi kerana tiada jam dan tiada bantuan dirinya hendak tahu sudah masuk waktu Subuh atau belum, melainkan dengan pembesar suara itu saja.
"Sedangkan sudah azan ketika itu, tetapi disebabkan tersalah, apabila pembesar suara sudah elok dan dia dengar pula tok imam baca doa qunut. Maka yang di rumah tadi yang terkejut disebabkan tersalah itu dimaafkan,” terangnya.
Menguatkan lagi fakta tentang batal puasa apabila tersalah berbuka puasa awal, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah mengupas panjang lebar tentangnya menerusi artikel Bayan Linnas Siri ke-97: Tersalah Berbuka Puasa Awal Kerana Azan di Radio yang disiarkan dalam laman web rasminya.
Mudah kata, puasa dikerjakan mereka adalah batal dan wajib diqadakan.
Firman ALLAH SWT: "...dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib)...” (Surah al-Baqarah, ayat 187)
Selain berhujahkan kepada dalil tersebut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, kaedah fiqh juga menyebut bahawa ‘asal bagi sesuatu perkara ditentukan dengan waktu yang paling hampir’.
"Ia juga selari dengan kaedah fiqh ‘tidak diiktibarkan dengan zhan atau sangkaan yang nyata salahnya’. Dalam kes ini, selepas diberitahu waktu Maghrib belum masuk dan ternyata benar, maka zhan atau ghalabat al-zhan yang berlaku sebelum ini iaitu masuk waktu berbuka telah nyata salah dan silapnya. Maka, mereka yang berbuka sebelum waktu hendaklah mengqadakan puasa yang terbatal itu selepas Ramadan,” katanya.
Apatah lagi, katanya, dalam era moden kini, boleh dikatakan tidak ada orang yang tidak mempunyai jam, takwim mahupun aplikasi dalam telefon pintar yang menyatakan waktu berbuka.
"Sewajarnya kita lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru berbuka puasa sebelum disahkan dengan yakin,” titipnya dalam artikel berkenaan.