Lelaki warga asing kahwini warga emas demi lesen perniagaan

Iklan
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu mengesan terdapat lelaki warga asing yang mengahwini wanita warga emas tempatan semata-mata untuk memudahkan mereka mendapatkan lesen perniagaan.n - Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu mengesan terdapat lelaki warga asing yang mengahwini wanita warga emas tempatan semata-mata untuk memudahkan mereka mendapatkan lesen perniagaan.

Pengarahnya, Azhar Abd Hamid berkata, selepas hasrat mereka tercapai, terdapat kes wanita berkenaan kemudian diabaikan malah ada yang hidup berasingan dengan hanya diberikan wang saku sekitar RM300 sebulan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, taktik menjadikan wanita tempatan sebagai 'mangsa' kepentingan peribadi itu dikhuatiri semakin meluas dalam kalangan masyarakat menyebabkan ia sukar untuk dibendung.

"Kita tidak kata kes sebegini banyak berlaku di Terengganu, tetapi kita ada mengesan kes-kes seumpama ini, mereka (warga asing) menyasarkan wanita tempatan sebagai mangsa malah ada di antaranya merupakan wanita warga emas.

Iklan

"Kita bimbang jika keadaan ini dibiarkan ia akan semakin berleluasa dan lebih ramai lagi lelaki warga asing menyasarkan wanita tempatan untuk kepentingan diri mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) di pejabat JIM Terengganu di sini pada Ahad.

Iklan

Azhar memberitahu, kebanyakan wanita yang terlibat dalam kes tersebut enggan membubarkan perkahwinan atas alasan tiada siapa yang akan menanggung mereka sekiranya berpisah dengan suami warga asing.

"Dalam hal sebegini, kebanyakan wanita warga emas ini bergantung sumber kewangan dengan suami warga asing yang telah mengukuhkan perniagaan di sini.

"Sedangkan hakikat yang berlaku ialah mereka hanya diperalat dan tidak tinggal bersama," ujarnya.

Menurut Azhar, pihaknya telah bertemu dengan beberapa exco negeri berkaitan untuk berbincang mengenai perkara itu dan seterusnya merangka tindakan bersesuaian bagi menyekat ia daripada terus berleluasa.

Dalam perkembangan sama, Azhar berkata trend perkahwinan warga tempatan dan warga asing di negeri itu menunjukkan peningkatan saban tahun.

Katanya, sepanjang Januari hingga Mac tahun ini sebanyak 61 perkahwinan baharu dengan warga asing telah didaftarkan di samping seramai 192 pasangan yang memperbaharui pas pasangan kepada warganegara malaysia.

"Berdasarkan statistik ini, kita merekodkan 46 perkahwinan melibatkan perempuan warga asing yang mengahwini lelaki tempatan manakala 15 pasangan lagi adalah lelaki warga asing yang mengahwini perempuan tempatan.

"Antara kewarganegaraan tertinggi yang terlibat ialah Thailand, Indonesia dan Pakistan. Kita juga mengesan warga Thailand paling ramai dinikahi lelaki tempatan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan rekod pada 2023, sebanyak 925 perkahwinan dengan warga asing direkodkan dimana 73 daripadanya adalah perkahwinan baharu dan 852 merupakan permohonan lanjutan pas pasangan.

Katanya, pada 2022, sebanyak 243 perkahwinan baharu direkodkan dengan 1,095 permohonan bagi lanjutan pas kepada pasangan warganegara malaysia.

"Kita nasihatkan kepada pasangan yang mengahwini warga asing ini supaya hadir ke JIM untuk membuat permohonan pas kepada pasangan mereka.

"Selain mahu memastikan perkahwinan itu mengikut prosedur, ia juga bagi memastikan kewujudan perkahwinan itu sekali gus dapat menjamin wanita berkenaan supaya tidak diperalatkan oleh lelaki warga asing," katanya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!