PETALING JAYA - Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan pemain pertahanan bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mohd Rizal Mohd Ghazali untuk menggugurkan dua pertuduhan merosakkan telefon bimbit dan mencederakan bekas kekasihnya di sebuah hotel, pada Jun tahun lalu.
Semasa sebutan kes di hadapan Majistret, Zhafran Rahim Hamzah, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal berkata, susulan perkembangan tersebut, arahan yang diterima ialah meneruskan pertuduhan terhadapnya.
"Ini kerana, tertuduh tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibuat sebelum ini," katanya.
Mendengar perkara itu, Zhafran berkata, disebabkan representasi ditolak, maka mahkamah menetap 1 Julai depan untuk perbicaraan.
Sementara itu, peguam, Mohamed Ashmeer Mohamed Ashrof yang mewakili bekas pemain skuad Harimau Malaya tidak membantah tarikh prosiding berkenaan.
Pada 19 Jun tahun lalu, lelaki itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas dua pertuduhan merosakkan telefon bimbit dan mencederakan ketika itu sebagai kekasih di sebuah hotel, awal bulan itu.
Dia yang juga bekas pemain bola sepak Kebangsaan, didakwa memukul Hani Farhana Hasrul Sani, 38 dan melakukan khianat dengan merosakkan telefon bimbit mangsa sama, mencecah kerugian dianggarkan RM4,500 di sebuah bilik hotel di sini, pada jam 6 pagi, 7 Jun tahun sama.
Atlet profesional berusia 32 tahun yang beraksi dalam Liga Super itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara kes merosakkan telefon, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada pertengahan tahun lalu, Sinar Harian melaporkan, seorang pemain bola sepak tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes kecederaan yang dihadapi teman wanitanya, di sebuah hotel di sini.
Menurut pihak polis, laporan dibuat wanita terbabit pada jam 6 petang, dengan mendakwa berlaku perselisihan faham hingga menyebabkan dia mengalami kecederaan di bahagian badan selain telefon bimbitnya dirosakkan.
Pada 6 Februari lalu, Mohd Rizal yang juga anak kelahiran Baling, Kedah mengemukakan representasi kepada AGC, supaya menggugurkan semua pertuduhan terhadapnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28