TIDAK sanggup lagi menahan derita akibat jangkitan kuman sehingga menyebabkan ibu jari kaki kanannya reput dan patah, penyanyi veteran Roy tiada pilihan lain selain memohon bantuan masyarakat mengumpul dana bagi membolehkannya menjalani pembedahan segera.
Menurut penyanyi lagu Ratnaku itu, dia dimaklumkan oleh doktor ibu jari kakinya itu perlu segera dipotong berikutan keadaannya sangat kronik dan kritikal.
"Tidak ada ubat atau antibiotik untuk menyembuhkannya sebab kuman bakteria itu berada dalam tulang, bukan di daging. Kalau kuman itu berada di daging, ada antibiotik boleh menyembuhkannya.
"Tidak hanya dipotong di ibu jari, tapi hampir sebelah tapak kaki saya kena potong,” kata Roy atau nama sebenarnya Mohammed Rauzan Alwi dalam hantaran di akaun Facebook peribadinya.
Sehubungan itu, Roy yang berusia 59 tahun terpaksa mencari jalan lain untuk menyelamatkan ibu jari kakinya.
"Saya tak boleh bertahan lagi sebab tak dapat menunggu giliran pembedahan di hospital kerajaan kerana senarai giliran menunggu untuk pembedahan terlalu panjang, bimbang saya tak dapat menyelamatkan kaki saya.
"Jadi saya kena ambil keputusan untuk buat pembedahan segera mungkin di hospital swasta tetapi kosnya agak mahal,” ujar bekas peserta program Gegar Vaganza musim keenam itu lagi.
Kata Roy, kos yang diperlukan untuk menjalani pembedahan itu ialah sebanyak RM20,000 dan mengakui, tiada kemampuan untuk menyediakannya.
"Saya tak mampu untuk membiayainya... saya ada juga cuba mencari ikhtiar terapi alternatif untuk menyelamatkan kaki saya. Kosnya lebih kurang sebanyak itu juga,” jelas Roy.
Oleh yang demikian, Roy memohon jasa baik orang ramai untuk membantunya mengumpul dana bagi menyelamatkan ibu jari kakinya itu.
Sumbangan itu, katanya, boleh disalurkan ke akaun CIMB peribadinya bernombor 7600847289 (Mohammed Rauzan bin Alwi).
"Jasa baik sahabat-sahabat menghulurkan sumbangan bantuan akan saya kenang sehingga ke akhir hayat saya.
"Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa sahabat-sahabat semua. Jutaan terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan kepada sahabat-sahabat di atas jasa baik sahabat-sahabat semua.
"Saya doakan semoga sahabat-sahabat semua di masukkan ke dalam syurga tanpa dihisab dan diazab. Aamiin ya rabbal alamin,” kata Roy menitipkan doa. - Awani
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28