KLANG - Dua remaja lelaki maut dalam kemalangan melibatkan empat motosikal di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kapar di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam ketika dua mangsa berusia 15 tahun masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dan Nouvo.
Menurutnya, mangsa yang dalam perjalanan ke Kapar dari Bukit Kapar dipercayai telah bertembung dengan dua lagi buah motosikal jenis Yamaha Lagenda dan Honda AFX dari arah bertentangan.
"Pelanggaran itu mengakibatkan dua remaja itu maut akibat parah di kepala.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca kemalangan.
Katanya, usaha juga sedang dijalankan untuk mengesan dua lagi penunggang motosikal yang terlibat dalam kejadian itu.
Tegas Vijaya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang maklumat diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28