Polis terima 10 laporan sepanjang kempen PRK Kimanis

Iklan

KIMANIS - Polis menerima sepuluh laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis sepanjang tempoh sepuluh hari berkempen sehingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, daripada jumlah itu, lima kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan Kanun Keseksaan.

Iklan
Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata 163 permit bagi tujuan berkempen dan ceramah umum dipohon oleh dua parti bertanding, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh itu.

"Sejak 4 Januari hingga 8 pagi ini, Warisan memohon 102 permit manakala BN, 61 permit," katanya.

Iklan

Sementara itu, Azmir mengesahkan pihaknya sudah meluluskan dengan bersyarat permit untuk Himpunan Solidariti Rakyat Bantahan Aman Pas Sementara Sabah (PSS) pada 15 Januari ini.

"Permohonan dibuat oleh pihak penganjur, Benjamin Ondoi pada 3 Januari dan diluluskan dengan bersyarat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya.

Iklan

Azmir turut mengesahkan tiada sebarang insiden berlaku sepanjang tempoh sepuluh hari kempen, dan kedua-dua parti bertanding memberi kerjasama baik kepada pihak polis.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Warisan Datuk Karim Bujang dan calon BN Datuk Mohamad Alamin.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 18 Januari dan hari pengundian awal pada 14 Januari ini. - Bernama