Giliran Aaron Aziz 'diperguna' scammer

Iklan
Aaron berang jadi sasaran scammer. Foto Azrul Rafie (Astro)

PELAKON dan pengarah, Datuk Aaron Aziz mendedahkan ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan suara dan fotonya dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mempromosikan produk.

Jelas Aaron, beliau sebelum itu telah memberi amaran kepada pihak terbabit untuk padam hantaran berkenaan, sebelum sekali lagi mengesan hantaran sama tidak lama kemudian.

Iklan
Iklan

Berang dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu, aktor berusia 48 tahun itu membuat laporan polis dan seterusnya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Scammer itu menggunakan suara dan gambar saya dan dengan teknologi AI, nampak seperti saya yang sedang mempromosikan produk tersebut.

Iklan

"Pada awalnya saya sendiri yang jumpa hantaran tersebut di TikTok, bila kami beri amaran mereka padam hantaran itu. Kemudian kami jumpa sekali lagi dan terus buat laporan polis.

"Cuma proses ini memakan masa yang agak panjang kerana perlu melalui prosedur rumit termasuk mengesan identiti pelaku.

Iklan

"Saya sendiri sudah menghantar wakil ke kilang tersebut tetapi sukar untuk mengesan pelakunya kerana mereka ada ramai ejen," katanya.

Aaron berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Filem The Experts di sebuah hotel di Glenmarie, Shah Alam baru-baru ini.

Tambah Aaron, beliau berang dengan tindakan scammer tersebut kerana promosi sebegini sedikit sebanyak menjejaskan reputasinya dan pasti akan ada yang menganggapnya sebagai penipu.

Justeru bintang utama The Experts ini berharap tindakan dapat diambil secepat mungkin dan SKMM boleh menubuhkan satu unit khas bagi membanteras kegiatan sendiket penipuan seperti ini.

Aaron bersama barisan pelakon dan pengarah The Experts. Foto Azrul Rafie (Astro)

"Jadi saya harap kita dapat bantuan dan tindakan yang lebih pantas daripada SKMM.

"Lagipun kes saya bukan yang pertama, ada ramai lagi termasuk Ustaz Azhar Idrus yang kononnya mempromosikan kain pelekat. Macam-macam yang scammer ini buat," ujarnya.

Pada 11 Mac lalu, Aaron membuat laporan polis ke atas empat akaun Instagram yang didakwa menjalankan sindiket penipuan.

Sebelum ini, beberapa selebriti mendedahkan wajah dan suara mereka digunakan pihak bertanggungjawab untuk mempromosikan perniagaan yang tidak wujud atau dikendalikan mereka.

Antara yang pernah menjadi mangsa adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fizo Omar, Khairul Aming dan ramai lagi.

Persiapan raya

Dalam perkembangan lain, Aaron berkata, filem terbaharu lakonannya, The Experts bakal menemui penonton di pawagam pada 23 Mei depan.

Selain Aaron, filem yang mengangkat tema rompakan itu turut dibintangi Remy Ishak, Maya Karin, Mima Lana, Hasnul Rahmat dan ramai lagi.

Sementara itu, ditebak mengenai persiapan Syawal yang bakal menjelang seminggu lagi, Aaron berkata, beliau masih belum berkesempatan membuat persiapan raya.

Bagaimanapun beliau akan pulang ke Singapura pada Khamis ini dan berada di sana selama seminggu.

"Jadual saya agak padat sepanjang Ramadan ini. Sebenarnya Diyana (isteri) ada di Singapura dan saya berada di sini bersama anak bongsu saya.

"Insya-ALLAH selepas pulang ke Singapura baru saya akan buat persiapan," katanya yang kini menjalani perniagaan samping instant.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!