IPOH -"Bukan semua orang berduit, asalkan mereka dapat membeli, itu sudah cukup menggembirakan hati saya."
Demikian kata Khairruni Ahmad Zabidi, 63, yang bermurah hati menjual pelbagai biskut raya pada harga RM6 sebekas.
Khairruni berkata, jualan biskut pada harga rahmah dengan kuantiti antara 18 ke 22 biji itu dimulakan sejak tahun lalu bagi membolehkan orang ramai terutama yang kurang berkemampuan menyediakan biskut untuk hari raya.
"Saya puas hati lihat orang ramai datang membeli berkali-kali, lebih-lebih lagi yang susah dan mempunyai anak ramai.
"Kalau selalu RM50 boleh dapat satu atau dua jenis biskut sahaja. Di sini mereka boleh memilih hampir 10 jenis biskut untuk dijadikan juadah raya nanti," katanya ketika ditemui pada Isnin.
Beliau berkata, tahun lalu jualan biskut raya RM6 mendapat permintaan luar jangka hingga terjual lebih 10,000 bekas.
Sambutan baik itu mendorongnya untuk meneruskan jualan sama pada Aidilfitri tahun ini, meskipun sedikit terhimpit dengan kenaikan harga barang.
"Untung mungkin tidak seperti peniaga lain, tetapi saya jadikan usaha kecil ini sebagai saham akhirat. Asalkan mereka gembira dapat biskut raya, saya pun tumpang gembira sama," katanya.
Gerai jualannya yang beroperasi di lot parkir Stesen Minyak Shell di Jalan Hospital di sini menyediakan 32 jenis biskut raya antaranya semperit, almond london, tat nanas, kacang mazola, biskut nestum dan oat.
Jualan biskut diusahakan bersama kakaknya, Suhairah Ahmad Zabidi, 64, itu meraih perhatian umum selepas tular di media sosial hingga mendapat julukan 'kuih raya opah chik dan opah su'.
Sejak beroperasi Jumaat lalu, hampir 5,000 bekas telah terjual dengan sebahagian besar pembeli yang datang merupakan pelanggan sama seperti tahun lalu.
Khairruni yang berpengalaman 20 tahun sebagai peniaga berkata, semua biskut berkenaan dihasilkan sendiri dari dapur rumah dengan bantuan lapan pekerja dalam kalangan ibu tunggal.
Meskipun dijual murah, beliau tetap mementingkan kualiti dan rasa biskut dengan menggunakan bahan secukupnya seperti tepung, telur, marjerin dan gula, sama seperti pembuatan biskut yang lain.
"Saya puas hati bila mereka kata, walaupun murah, rasanya sedap dan setanding biskut mahal.
"Dalam pembuatan biskut ini, saya dan pekerja memprosesnya secara harian, mana yang habis dulu, itu yang kita bakar dahulu sebelum dibawa ke gerai ini.
"Mungkin sebab itulah orang ramai masih memilih dan mencari biskut raya RM6 ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!