'Saya bukan ustazah, tidak layak bercakap agama' - Neelofa

Iklan
Bukan mahu mengambil alih tugas seorang pendakwah bebas atau menjadi ustazah, sebaliknya Neelofa berkongsi apa yang diketahuinya mengenai ibu dan bapa dalam al-Quran dan hadis.

PENGACARA dan usahawan berpengaruh, Neelofa, mengakui ketidaksempurnaan dalam memberi pandangan dalam isu seorang wanita yang membuat luahan mengenai ditinggalkan ibunya ketika berusia 13 tahun kerana mahu berkahwin dengan lelaki lain.

Jelas pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor itu, beliau tidak sempat membuat kupasan menyeluruh kerana kesuntukan masa, namun apa yang diperkatakan adalah berdasarkan perintah ALLAH SWT menerusi al-Quran dan nasihat nabi dalam beberapa hadis sahih.

Iklan
Iklan

"Saya bukan ustazah dan tidak layak bercakap mengenai agama tetapi apa yang dikongsikan ketika itu adalah apa yang saya tahu.

"Bila bercakap mengenai ibu dan ayah ini, susah untuk kita berdebat kerana sudah terang lagi bersuluh dalam al-Quran dan hadis ada ALLAH SWT sebutkan mengenainya.

Iklan

"Dalam satu ayat ada menyatakan jika kedua ibu bapa kamu bersungguh-sungguh berusaha untuk kami mensyirikkan Aku (ALLAH), jangan mentaatinya tetapi berbuat baiklah (kepada kedua ibu dan bapa) dalam urusan dunia.

"Bayangkan mensyirikkan ALLAH SWT adalah dosa paling besar, tetapi ALLAH masih suruh berbuat baik kepada ibu dan bapa. Begitulah besar martabat, darjat dan status ibu bapa pada-NYA," jelas Neelofa.

Iklan
Neelofa mengakui Ramadan tahun ini hampir sempurna kerana dapat menumpukan perhatian lebih banyak kepada amal ibadah.

Neelofa berkata demikian ketika ditemui dalam majlis tayangan perdana Program Raya Astro 2024 di sebuah hotel di Petaling Jaya baru-baru ini.

Tambah isteri kepada pendakwah, Haris Ismail atau PU Riz itu tidak menafikan dugaan besar yang dilalui oleh individu terbabit.

"Apa yang wanita itu lalui, keperitan hidup membesarkan adik-beradik tanpa mak bukan mudah. Alhamdulillah, ALLAH beri kekuatan.

"Dalam hidup ini ada benda yang kita tak boleh nak pilih seperti ibu bapa. Kadangkala kita diuji dengan ibu atau ayah yang tidak bertanggungjawab, tetapi kita sebagai anak ada kadarnya.

"Selagi kita hidup, selagi ada peluang dan ruang untuk memaafkan, berbuat baik, berkhidmat, hormat dan taat, buatlah sehabis baik. Bukan hanya untuk wanita itu sahaja, tetapi semua manusia dalam dunia ini. Semua ini akan menjadi penilaian di akhirat kelak," ujarnya yang mengendalikan segmen jam 3 pagi bersama Nabil Ahmad.

Baru-baru ini tular perkongsian sebuah stesen radio di TikTok memaparkan seorang pemanggil mendakwa ditinggalkan ibunya sejak berusia 13 tahun kerana wanita terbabit ingin berkahwin dengan lelaki lain.

Ayahnya pula meninggal dunia tidak berapa lama selepas itu. Justeru dia terpaksa menanggung dua adik-beradik lain tanpa bantuan sesiapa. Bagaimanapun, selepas bertahun-tahun, wanita terbabit tiba-tiba muncul semula dengan harapan untuk merapatkan semula hubungan ibu-anak yang lama terputus.

Namun, pemanggil terbabit tidak dapat menyambut usaha berkenaan dengan baik serta berasa berat untuk memaafkan ibunya.

Hampir sempurna

Dalam perkembangan lain, wanita berusia 35 tahun itu bakal tampil dengan program Next To Neelofa untuk musim ketiga tidak lama lagi.

Program kali ini menampilkan lebih ramai artis popular dengan pelbagai topik menarik.

Berkongsi mengenai Ramadan dan persiapan Syawal tahun ini, bekas pengacara MeleTOP itu mengakui bulan puasa tahun ini antara yang paling bermakna buatnya.

Selain berpeluang menguruskan kedua-dua puteranya iaitu Muhammad Bilal, 2, dan Abdullah Abbas, lapan bulan, beliau juga menikmati rutin Ramadan yang ringkas tetapi bermakna.

"Selalunya bermula 4.30 pagi, saya sudah ada rutin. Selain tugas sebagai ibu, saya ada masa untuk fokus habiskan bacaan al-Quran dan tadabbur. Memang saya rancang untuk khatam lebih sekali dalam bulan Ramadan ini.

"Persiapan raya pun sederhana sahaja. Kami akan pakai baju tahun lepas dan anak-anak pun saya tak beli baju berlebihan," katanya yang akan berhari raya di Kuala Lumpur sahaja.