Perlu lihat data keseluruhan kenaikan harga barang - Pas

Iklan
Khairil Nizam

SHAH ALAM - Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas Pusat meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melihat data secara keseluruhan mengenai kenaikan harga barangan di negara ini.

Pengerusinya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, ia bagi mendapatkan gambaran sebenar kerana data terkini harga barangan keperluan seperti bawang besar, sardin, daging, marjerin dan lain-lain secara purata menunjukkan peningkatan antara 25 hingga tiga peratus berbanding Januari 2022.

Iklan
Iklan

"Sebagai contoh, harga bawang besar import India naik kepada RM8.26 pada April 2024 berbanding RM4.20 pada Januari 2022.

"Bagi bawang putih import pula, harga naik kepada RM12.38 berbanding RM8.81 pada Januari 2022, manakala sardin cap ayam 425g naik kepada RM10.21 berbanding RM8.32

Iklan

"Jika dilihat pola kenaikan harga barangan keperluan, secara umumnya kenaikan harga ini menyebabkan pertambahan kos isi rumah dan ia juga memberikan tekanan kepada peniaga kecil," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan Anwar yang mengumumkan bahawa harga barangan keperluan masih rendah dan stabil berbanding kerajaan terdahulu ketika majlis perhimpunan bulanan bersama warga kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini.

Iklan

Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut memaklumkan, apabila kenaikan harga barang melebihi paras 'biasa' atau meningkat 'berlebihan', situasi tersebut menjadi sukar kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Tambahnya, walaupun Anwar mengumumkan tiga makanan utama iaitu beras import, ayam dan telur ayam lebih rendah atau stabil berbanding sebelumnya, keseluruhan data tetap perlu dilihat bagi mengukur kejayaan sesuatu langkah intervensi kerajaan dalam mengawal harga barangan.

"Bukan hanya melihat kepada beberapa parameter sahaja, ini kerana tiada gunanya hanya beberapa barangan mencatatkan penurunan.

"Tetapi, trend keseluruhan jangka panjang berkaitan harga barang dan inflasi tetap meningkat serta terus membebankan rakyat," ujarnya lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28