Karnival Fiesta Raya Baling: Penganjur bayar balik duit sewa

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai Karnival Fiesta Raya Baling 2024 pada Ahad.

SUNGAI PETANI - Penganjur Karnival Fiesta Raya Baling 2024 akan membayar balik duit sewa gerai jualan kepada peserta karnival itu mengikut baki jumlah hari selepas ia ditutup operasi pada Sabtu.

Penganjurnya, Ahmad Zaki Yaacob berkata, duit sewa itu akan dipulangkan berikutan pihaknya mengenakan sewaan mengikut jumlah hari berniaga.

Iklan
Iklan

"Isu peniaga rugi itu tak timbul, bagi saya itu mainan komen netizen sahaja.

"Kita refund (bayar balik) mengikut sewaan hari yang mana berbaki, semua kita pulangkan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Iklan

Sementara itu, ketika ditanya mengenai faktor yang menyebabkan pihaknya mengambil keputusan menghentikan operasi karnival berkenaan, Ahmad Zaki berkata, pihaknya membuat tindakan itu bagi mengambil tanggungjawab dengan kontroversi yang berlaku.

Dalam kejadian dipercayai Khamis lalu, tular video Azwan Ali bersama beberapa orang lelaki menari di atas pentas pada Fiesta Raya Baling 2024.

Iklan

Aksi tarian tersebut mendapat kecaman berikutan berlaku pada bulan Ramadan.

Susulan itu, penganjur tampil memohon maaf kepada semua pihak terutama rakyat Kedah dan membuat keputusan menutup karnival tersebut.

Turut tular, keluhan peniaga yang menangis apabila karnival berkenaan ditutup kerana didakwa mengalami kerugian.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kerajaan negeri hanya mengeluarkan arahan menghentikan aktiviti hiburan kepada penganjur Karnival Fiesta Raya Baling 2024, bukannya menutup keseluruhan ekspo jualan tersebut.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, sebaliknya penganjur memilih untuk menutup karnival berkenaan atas beberapa faktor.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28