PM hargai kerjasama Perlis, walaupun berlainan nakhoda

Iklan
Anwar menghadiri sesi lawatan ringkas ke Perlis. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PADANG BESAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai kerjasama baik yang diberikan kerajaan Perlis walaupun dipimpin oleh parti pembangkang.

Menurutnya, hubungan baik kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ini mampu membantu Perlis yang mempunyai potensi untuk dibangunkan terutamanya dalam sektor pelancongan

Iklan
Iklan

"Saya ucapkan terima kasih kerana kerajaan Perlis walaupun nakhoda lain partinya, tetapi hubungan akrab dan kerjasama sangat baik.

"Ini kerana akhirnya amanah yang diberikan itu adalah untuk amal, negara kita punyai potensi yang baik sebab itu saya katakan, ia mesti bermula dengan sikap kita.

Iklan

"Saya tahu ada kalangan kawan kita yang tidak senang apabila saya bicara tentang tatakelola dan hentikan amalan yang merugikan, kecurangan yang merosakkan sendi negara, salah guna kuasa ataupun rasuah," katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani peringkat Negeri Perlis di Masjid Nurul Huda di Felda Chuping dekat sini.

Iklan

Hadir sama, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ketua jabatan serta agensi kerajaan pusat dan negeri.

Jelas Anwar, salah guna kuasa ataupun rasuah menyebabkan usaha untuk lebih berjaya ataupun mencapai kemajuan yang lebih baik tidak akan mampu dicapai.

"Kita punya keupayaan untuk mencatat kemajuan yang jauh lebih baik tetapi kadang-kadang kuasa itu memukau dan memberikan ruang, bukan untuk berkhidmat tetapi memunggah kekayaan untuk kepentingan peribadi, keluarga," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri hadir mempengerusikan Taklimat Pembangunan Negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, Kangar.

Perbincangan selama satu jam menyentuh pelbagai isu dan keperluan pembangunan di Perlis antaranya projek Dataran Kuala Perlis, Pasar Pelancongan Kuala Perlis, pembinaan jalan bagi menghubungkan Jalan Pesisiran Pantai (R152) ke Kuala Sanglang serta penyelenggaraan gerai dan kiosk di seluruh negeri ini.

Menurut Anwar, Menteri Besar Perlis turut membangkitkan permohonan peruntukan tambahan bagi Projek ICQS Wang Kelian, Mesin Pengimbas di Pelabuhan Darat Perlis serta peruntukan mengurus bagi kerajaan Perlis.

"Mengambil kira keperluan yang mendesak, saya luluskan peruntukan tambahan sebanyak RM14 juta bagi Projek ICQS Wang Kelian untuk menyelesaikan segera isu kesesakan di pintu masuk negara.

"Saya juga singgung potensi Perlis sebagai destinasi pelancongan dan bagaimana negara kita berbelanja tinggi untuk menanggung kos subsidi harga barang asas, namun harga makanan di negara kita masih lebih mahal berbanding di destinasi pelancongan negara jiran," tambah beliau.

Jelas Anwar, jika ada usaha untuk mengatasi masalah ini, lebih ramai pelancong akan datang ke destinasi pelancongan di Perlis.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28