BUTTERWORTH - Seorang peniaga menarik nafas lega apabila terlepas hukuman mati setelah Mahkamah Tinggi dfi sini pada Isnin, melepaskan dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah hampir enam tahun lalu.
Hakim Fathiyah Idris membebaskan Lim Chon Kuang, 31, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Beliau berkata, mahkamah mendapati terdapat keraguan terhadap keterangan saksi pendakwaan keempat khususnya berkenaan barang kes yang diletakkan di atas meja di dalam pejabat SY Online Venture Sdn Bhd, di mana tiada sesiapa mempunyai akses kepada meja itu.
Seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes Lim yang diwakili peguam K Mahendren, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sariza Ismail.
Mengikut pertuduhan, Chon Kuang didakwa mengedar dadah jenis monoacetylmorphines seberat 185.71 gram di hadapan syarikat SY Online Venture Sdn Bhd, Jalan Idaman, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan pada jam 9 pagi, 29 Nov 2018.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup. - Bernama