Iftar santuni OKU, warga emas

Iklan
Suasana Iftar Ala Madinah pada Jumaat.

SHAH ALAM - Kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) di Program Iftar Ala Madinah@Karangkraf 2024 menjadi tarikan buat pengguna berkerusi roda untuk menyertainya.

Norhagijah Aziz, 59, berkata, berkerusi roda bukan penghalang buat dirinya untuk turut bersama-sama menyertai acara berkenaan kerana ia dilakukan di kawasan lapang yang terbuka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, layanan baik yang diberikan oleh petugas Karangkraf juga merupakan salah satu sebab dia mengikuti program itu tanpa gagal.

Penganjur turut menyediakan ruangan khas untuk pengunjung berkerusi roda.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana pihak Karangkraf menyediakan ruangan khas untuk golongan OKU untuk turut sama merasai pengalaman berbuka seperti di Madinah.

Iklan

"Kemudahan yang ada membuatkan saya tidak berasa terpinggir. Tempat letak kereta khas turut tersedia, ruangan meja untuk golongan berkerusi roda juga ada dan lebih menarik segala tempat seperti tandas serta surau dapat diakses dengan mudah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf.

Mengulas mengenai konsep makanan percuma, Norhagijah memberitahu, inisiatif berkenaan ternyata dapat meringankan beban perbelanjaan harian kerana dia dapat berjimat sehingga lebih RM300.

Iklan

Ujarnya, wang berkenaan dapat digunakan untuk membeli keperluan dapur dan persiapan raya.

Gambar dari kiri: Norzalilatul Akma, Muhammad Azinuddin, Norhagijah

"Saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia memberi banyak manfaat kepada kami (golongan tua). Saya dan suami tidak perlu bersusah payah untuk pergi ke bazar Ramadan membeli juadah berbuka.

"Di Iftar Ala Madinah segalanya sudah tersedia. Kami merasakan Ramadan kali ini lebih bermakna kerana dapat berbuka secara beramai-ramai, mengeratkan silaturahim dan berjimat,” katanya yang berasal dari Klang.

Norzalilatul Akma (tengah) hadir bersama keluarga untuk menikmati suasana berbuka ala Madinah.

Sementara itu, Norzalilatul Akma Ibrahim, 40, berkata, dengan adanya Program Iftar Ala Madinah@Karangkraf, dia dapat berehat memasak lauk berbuka untuk keluarga.

Menurutnya, jika tidak mengikuti acara berkenaan dia perlu mengambil masa selama dua jam untuk menyediakan sajian berbuka.

"Alhamdulillah, bagi saya program ini memang membantu kami (kaum ibu) yang bekerja kerana tidak perlu berpenat dan ‘pening’ memikirkan juadah untuk keluarga.

"Bukan itu sahaja, ia juga dapat menjimatkan perbelanjaan harian. Kalau masak pun perlu keluar duit dan jika ke bazar Ramadan juga sama.

"Jadi, untuk elakkan pembaziran dan memanfaatkan inisiatif yang diberikan ini, saya memilih untuk membawa anak-anak merasai pengalaman berbuka beramai-ramai,” ujarnya.

Ruangan tertutup disediakan penganjur kepada pengunjung yang hadir sekiranya cuaca hujan.

Dalam pada itu, Muhammad Azinuddin Che Omar, 28, berkata, dia berasa ‘rugi’ kerana lewat menyertai program Iftar Ala Madinah kerana berbuka secara beramai-ramai dan terbuka seperti ini ternyata menyeronokkan.

"Ini kali pertama saya mengikuti program ini. Alhamdulillah dari segi makanan, layanan dan atur cara majlis semuanya terbaik.

"Insya-ALLAH, jika diberi peluang selepas ini saya mahu datang bersama-sama keluarga untuk cipta memori berbuka seperti di Madinah,” katanya yang berasal dari Kedah.

Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf 2024 bermula 13 Mac hingga 5 April terbuka kepada 2,000 pengunjung sehari bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman berbuka puasa seperti di Masjid Nabawi, sekali gus mampu mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat.