SHAH ALAM - Isu perang genosid di Gaza yang masih berlarutan menjadi faktor World #QuranHour membawakan Surah al-Jumu'ah sebagai tema kepada program berkenaan kali ini.
Pentadabbur World #QuranHour, Muhamad Syaari Ab Rahman berkata, krisis peperangan itu dilihat terus berlanjutan tanpa sebarang usaha penting daripada negara Islam yang lebih kuat.
"Kita tidak nampak langsung sinergi kolaborasi negara Arab atau negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
"Yang main peranan hanya negara tertentu macam Malaysia tetapi peranan dimainkan agak jauh, sedangkan pemain utama iaitu orang Arab sepatutnya bertindak,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ujar Muhamad Syaari yang juga pengasas Tadabbur Centre Sdn Bhd, ironinya walaupun al-Quran turun dalam bahasa Arab, namun kebanyakan bangsa Arab sendiri tidak mengambil endah perintah atau larangan dalam kitab suci ini.
Menurutnya, kenyataan tersebut terbukti apabila walaupun bilangan orang Arab itu ramai, namun tidak memberi impak dari segi menghalau penjajah di bumi Gaza.
"Surah al-Jumu'ah ini kalau diperhatikan, memang nampak cara berinteraksi dengan al-Quran menerusi ayat kedua yang ditinggalkan umat Islam pada hari ini termasuk bangsa Arab sendiri.
"Jadi bila mereka tidak lagi bersama al-Quran, itu menyebabkan sesetengah bangsa Arab utamakan kebangsaan, berpuak, negara masing-masing dan semangat asabiah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhamad Syaari berkata, penganjuran program World #QuranHour kali kesembilan diharap dapat menghimpunkan semua umat Islam untuk bertadabbur al-Quran sempena Ramadan kali ini.
"Kita mahu membuat satu perkara yang jarang kita buat di luar Ramadan iaitu kita sama-sama mendalami al-Quran itu sendiri.
"Jadi apabila kita berhimpun pada waktu yang sama dengan fasilitator menggunakan pendekatan sama, seluruh dunia diharap boleh nampak bahawa ini penanda aras cara kita fahami sesuatu surah.
"Kita mulakan surah pendek sahaja sebab orang ramai di luar sana daripada pelbagai negara, mereka sangat menghargai bila kita pilih surah ringkas.
"Nabi Muhammad SAW tidak pernah tinggalkan surah ini dan jelas berguna kepada pemimpin umat Islam lainnya,” katanya.