Exco Pelaburan Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, sebanyak 200 projek beirmpak tinggi termasuk pelaburan asing telah diterima dalam tempoh tersebut.
"Sehingga 31 Mac lalu iaitu dua hari selepas suku pertama untuk tahun 2024, kita dapat sehingga kini lebih 200 projek sudah diluluskan.
"Walaupun nilai ringgit jatuh, namun kadar pertumbuhan ekonomi dan pelaburan di negeri ini masih menunjukkan peningkatan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Walkabout Jelajah Bazar Ramadan Rahmah dan Majlis Berbuka Puasa di Taman Perling di sini pada lewat petang Isnin.
Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo.
Ting Han berkata, perkembangan itu menunjukkan kerajaan negeri yakin mampu melepasi rekod 751 projek pelaburan diluluskan bernilai RM43 bilion yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.
Katanya, kerajaan negeri juga optimis akan mencatatkan pembangunan ekonomi yang sangat pantas menerusi beberapa projek besar yang telah pun dirancang antaranya pelebaran Lebuhraya Utara Selatan yang akan dimulakan pada Jun ini diikuti projek pelebaran Lebuhraya Senai-Desaru yang akan dimulakan pada September ini.
"Kita juga akan menandatangani perjanjian khas Malaysia Singapura berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, tidak dilupa ada inisiatif untuk zon kewangan khas di Forest City dan pelbagai projek lain.
"Maka kita jangka ekonomi negeri Johor tahun ini melalui kerjasama semua termasuk pembangunan infrastruktur, kerjasama sektor swasta untuk menambah baik dan menambah projek-projek pelaburan, maka kita haraplah ia dapat sedikit sebanyak bantu ekonomi negara juga," katanya.
Dalam pada itu, Ting Han berkata, KPDN Johor telah melakukan sebanyak 852 pemeriksaan di bazar Ramadan di seluruh daerah dari 12 Mac lalu sehingga Isnin.
Dalam pemeriksaan itu katanya, tiga kompuan telah dikeluarkan kepada peniaga kerana didapati gagal memaparkan tanda harga jualan.
Sehubungan itu, pihaknya berharap agar peniaga dapat mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berwajib dan pengguna yang berdepan masalah seumpama itu disarankan untuk membuat laporan kepada KPDN Johor untuk tindakan lanjut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!