NSTP umum tiga pengarang kumpulan baharu

Iklan
Seramai 543 pekerja syarikat The New Straits Times Press Malaysia (NSTP) terlibat dalam keputusan pemberhentian membabitkan tempoh perkhidmatan berakhir 12 Mac 2020.

KUALA LUMPUR - Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) hari ini mengumumkan barisan pengurusan pengarang yang baharu bagi ketiga-tiga akhbarnya selaras pelan rasionalisasi kerja diumumkan Kumpulan Media Prima pada 1 November tahun lepas.

NSTP dalam satu kenyataan menyatakan Saidon Idris dan Ahmad Lokman Mansor, masing-masing dilantik sebagai Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH) dan Pengarang Kumpulan NST berkuat kuasa 1 Januari 2020.

Iklan
Iklan

Sementara itu Husain Jahit, dilantik sebagai Pengarang Kumpulan Harian Metro berkuat kuasa 16 Mac 2020.

Kenyataan itu menyebut pelantikan Saidon sebagai Pengarang Kumpulan BH itu selepas pengalaman kerjaya bersama NSTP bermula tahun 1997, apabila beliau menyertai mereka sebagai penulis kanan Dataniaga, sebuah majalah perniagaan yang pernah diterbitkan NSTP.

ARTIKEL BERKAITAN: 543 kakitangan NSTP terima surat pemberhentian hari ini

Iklan

Saidon kemudiannya dilantik sebagai Pengarang Eksekutif Kanan, Convergence, NSTP pada Januari 2018 dan setahun kemudian sebagai Pengarang Eksekutif Kanan BH.

Sementara itu Ahmad Lokman memulakan kerjayanya di NSTP pada April 1992 sebagai wartawan Buisness Times sehingga diangkat menjadi Timbalan Pengarang.

Iklan

Ahmad Lokman juga memegang beberapa jawatan penting di NST termasuk Pengarang Bersekutu Hal Ehwal Semasa & Digital (2015-2016), Pengarang Convergence Buisness (2018-2019) sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengarang Eksekutif Bisness, Op-Ed & Digital NST, pada awal 2019.

Selain Saidon dan Ahmad Lokman, Husain yang sekarang ini Pengarang Eksekutif Komersial HM juga mempunyai pengalaman luas sejak memulakan kerjaya di NSTP pada Januari 1990 sebagai Pembantu Pemasaran Beriteks, perkhidmatan teleteks yang diperkenalkan TV3, pada tahun 1985.

Mengulas pelantikan mereka, Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima merangkap Ketua Pegawai EKsekutif Interim NSTP, Mustapha Kamil Mohd Janor berkata, pelantikan itu jelas membuktikan keberkesanan pelan peralihan dalaman kumpulan yang mana kami berpegang teguh kepada usaha bagi memupuk bakat dari dalam syarikat.

"Ia juga mencerminkan keazaman kami yang tinggi, dalam mengukuhkan kedudukan NSTP sebagai pembekal pilihan untuk berita dan kandungan, bagi menghadapi persekitaran perniagaan yang kian mencabar kini,” katanya. - Bernama