SHAH ALAM - Kumpulan Tune Protect Berhad (Tune Protect) menganjurkan program Roll Out Iftar: Distribution of Iftar via Misi Rakyat Food Riders sebagai sebahagian daripada sokongan dan tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan serta penghantar makanan.
Program dengan kerjasama Sinar Harian itu melibatkan pengagihan sebanyak 2,000 bungkus makanan iaitu 1,000 pek martabak daging dan ayam serta 1,000 pek kuih boko ubi.
Makanan tersebut diagihkan ke beberapa lokasi terpilih antaranya balai bomba, balai polis, Hospital Shah Alam dan Pejabat Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dengan menggunakan Misi Rakyat Food Riders.
Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian Kumpulan Tune Protect, Mohd Yusof Hafiz Mohamad berkata, pemilihan Misi Rakyat Food Riders dan petugas barisan hadapan sebagai kolaborasi serta kumpulan sasar adalah tanda penghargaan terhadap jasa mereka dalam menjaga kesejahteraan negara.
Menurutnya, penghantar makanan sanggup meredah hujan lebat, terik matahari dan berhadapan dengan keadaan berisiko semata-mata untuk membantu masyarakat di Malaysia.
"Selain itu, ia juga diadakan bagi menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bekerja siang dan malam tanpa mengira bulan puasa atau musim perayaan.
"Ini merupakan kali pertama kami melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menggunakan perkhidmatan Misi Rakyat Food Riders. Ia bagi memberi peluang kepada penghantar makanan untuk mendapatkan pendapatan tambahan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tambahnya, program itu juga bertujuan menyemarakkan lagi bulan Ramadan dengan keberkatan berinfak selain berkongsi rezeki bersama masyarakat.
"Kami yang memasak dan menyediakan makanan tersebut. Seramai 60 orang kakitangan Tune Protect berada di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf bagi membantu dalam pembungkusan makanan untuk diedarkan, serta menyertai pengedaran makanan bersama-sama Misi Rakyat Food Riders,” jelasnya.
Ditanya sama ada program sebegini akan diteruskan pada masa akan datang, Mohd Yusof memberitahu, pihaknya telah mengadakan pelbagai program sempena Ramadan bagi berkongsi kemeriahan dan keberkatan dengan para penerima manfaat sejak tahun lalu,
"Program yang dijalankan ini juga bukan sahaja memberi impak positif kepada kehidupan para penerima tetapi juga mendorong kakitangan untuk menyertai aktiviti CSR syarikat sebagai sukarelawan sekali gus dapat menanam semangat berbakti kepada masyarakat,” ujarnya.
Tune Protect adalah sebuah syarikat pegangan kewangan yang tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia.
Syarikat berkenaan telah mewujudkan kehadiran global di lebih daripada 49 negara melalui anak syarikat insurans am dan reinsuransnya, syarikat usaha sama, serta melalui perkongsian strategik dengan penjamin tempatan di pasaran ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!