JOHOR BAHRU – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Johor merampas 16 tan sardin dalam tin kerana didapati tidak memiliki permit import, Rabu minggu lalu.
Menurut Pengarah Maqis Johor, Edie Putra Md Yusof, kesemua tin sardin berkenaan dirampas susulan penahanan sebuah lori yang didapati membawa muatan sardin dalam tin diimport dari Singapura.
"Hasil pemeriksaan, lori berkenaan didapati membawa tin-tin sardin yang dianggarkan seberat 16,320 kilogram (kg) bernilai RM83,879.84.
"Pemeriksaan dokumen yang dijalankan oleh Pegawai Penguatkuasa Maqis mendapati konsainan yang membawa 1,600 karton ikan sardin dalam tin tersebut juga tidak mempunyai permit import.
"Kesemua 16 tan sardin dalam tin tersebut ditahan dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3) Akta yang sama kerana mengimport tanpa permit import Maqis.
Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Pihak Maqis akan terus menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan tiada perosak dan penyakit yang memasuki negara demi menjamin keselamatan makanan negara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!