13 remaja lelaki didakwa bunuh pelajar Kolej Vokasional

Iklan
Tiga belas remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Kolej Vokasional di sini, bulan lepas. Foto Bernama

LAHAD DATU - Tiga belas remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Kolej Vokasional di sini, bulan lepas.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Iklan
Iklan

Kesemua remaja yang berusia antara 16 hingga 19 tahun itu dituduh bersama-sama membunuh Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 21 Mac dan 22 Mac lepas kira-kira 9 malam hingga 7.38 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun namun tidak melebihi 40 tahun dan tidak lebih 12 sebatan.

Iklan

Prosiding secara tertutup berlangsung di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani pada 9 pagi dan hanya keluarga tertuduh dibenarkan berada di bilik bicara kerana melibatkan kes juvana.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao sementara dua tertuduh diwakili peguam Amirul Amin Rashid serta Kamarudin Mohmad Chinki manakala 11 tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Iklan

Mahkamah menetapkan 16 Mei ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia serta bedah siasat diserahkan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28