SHAH ALAM - Kes melibatkan strok haba dan Covid-19 di Selangor masih dalam keadaan terkawal.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata, pada masa ini, pihaknya sentiasa menjalin kerjasama erat dengan semua jabatan dan agensi kerajaan bagi memantau situasi tersebut.
"Pemerhatian mendapati kes (strok haba) masih terkawal dan kita mempunyai kapasiti untuk mengambil tindakan segera," katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar bersama Pengamal Media di sini pada Isnin malam.
Jamaliah memberitahu, kes Covid-19 di negeri ini juga dalam keadaan sederhana sejak beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, Jamaliah menasihatkan orang ramai mengamalkan langkah pencegahan terutama ketika sambutan Aidilfitri.
"Secara kebiasaannya, kes melibatkan Covid-19 mencatatkan peningkatan ketika musim perayaan.
"Justeru, kita masih digalakkan memakai pelitup muka terutama di kawasan tumpuan umum dan perlu meminum lebih banyak air jika berdepan cuaca panas," ujarnya.
Tambah beliau, masyarakat juga perlu sentiasa peka dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan makluman keadaan cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
KKM sebelum ini mendapati sebanyak 28 kes penyakit berkaitan haba dilaporkan sehingga 25 Mac lalu.
Ia melibatkan 19 kes kelesuan haba dan sembilan kes strok haba manakala tiada kes kejang haba dilaporkan.
Lapan kes dilaporkan di Kedah, Perak (tujuh), Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing tiga kes, Perlis (dua), Johor dan Pahang masing-masing satu kes.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!