KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari atas kejayaan menjuarai Kejohanan Skuasy Klasik London.
"Tahniah sekali lagi saya ucapkan, semoga kemenangan ini akan mendorong lebih banyak kejayaan di masa akan datang,” katanya menerusi catatan di laman Facebook hari ini.
Iklan
Iklan
Anwar berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa Sivasangari menjadi pemain Malaysia pertama mara ke final kejohanan bertaraf emas dalam saingan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) selepas kali terakhir dilakukan bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David pada 2015.
Sivasangari melakar sejarah tersendiri selepas muncul juara edisi sulung Kejohanan Skuasy Klasik London dengan menyingkirkan pemain ranking kedua dunia Hania El Hammamy dari Mesir, di pentas final pada Isnin.
Kemenangan itu merupakan yang kedua buat Sivasangari ke atas El Hammamy sepanjang enam pertemuan sebelum ini.
Kejayaan ke final kejohanan bertaraf emas itu juga menyamai rekod yang pernah dicatatkan Nicol pada 2015. - Bernama