IPOH - Berkongsi rezeki dengan anak-anak yatim dan asnaf di dua buah sekolah menjadi pilihan buat Dewan Perhimpunan Melayu Perak (DPMP) bagi menceriakan hari raya buat 40 orang murid.
Presiden DPMP, Datuk Zahar Hashim berkata, program pemberian pakaian hari raya itu merupakan aktiviti tahunan yang juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Zahar Advisory Group dan kali ini lebih ramai melibatkan anak-anak dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jati serta SK Raja Perempuan Ipoh.
Menurutnya, anak-anak yatim dan asnaf dari sekolah dipilih kerana ramai dalam kalangan mereka yang susah dan kurang diberikan perhatian berbanding penghuni di rumah anak-anak yatim atau pelajar tahfiz setiap kali menjelang Aidilfitri.
"Cuma saya harap lebih banyak syarikat korporat yang memilih untuk membantu murid atau pelajar sekolah ini melalui program CSR mereka selepas ini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui meraikan penerima sumbangan berkenaan di Pasar raya Besar Mydin Meru di sini pada Isnin.
Sementara itu, Guru Besar SK Jati, Arzuang Mamat berkata, menerusi program tersebut seramai 20 orang muridnya mendapat manfaat dan malah menjadi tradisi setiap tahun mereka diberikan sepersalinan baju raya.
Menurutnya, pemilihan penerima berdasarkan latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan dan penerima zakat kerana ada dalam kalangan mereka tidak mendapat bantuan.
"Pendekatan dilakukan DPMP ini sesuatu yang amat baik kerana di sekolah sebenarnya ramai murid perlukan bantuan. Mereka yang saya pilih ini memang betul-betul tak mampu dan tak pernah dapat bantuan.
"Dengan bantuan seperti ini dapatlah meringankan beban ibu bapa anak-anak ini sekaligus menceriakan hari raya mereka pada tahun ini. Saya amat alu-alukan mana-mana pihak untuk menyumbang kepada murid-murid sekolah yang memerlukan," katanya.
Bagi Guru Besar SK Raja Perempuan Ipoh, Muszalipah Ahmad Yahya berkata, program sumbangan pakaian hari raya itu amat bermakna buat 20 murid sekolah berkenaan yang pertama kali mendapat tajaan daripada DPMP.
Jelasnya, ramai dalam kalangan anak murid penerima sumbangan berkenaan merupakan golongan miskin bandar yang tercicir dan amat memerlukan bantuan.
"Saya berpandangan program sumbangan kepada murid sekolah ini lebih tersasar kerana di sekolah ramai sebenarnya anak-anak yang perlu dibantu bukan sahaja keperluan hari raya tetapi keperluan pembelajaran lain.
"Inisiatif seperti ini perlu disambut oleh syarikat korporat, ahli perniagaan dan ibu bapa yang berkemampuan supaya lebih ramai murid-murid yang memerlukan dapat dibantu," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!