GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyatakan kebimbangannya mengenai penggunaan mercun dan bunga api terhadap manusia, alam sekitar dan haiwan ketika musim perayaan.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, banyak kesan buruk yang terhasil daripada letupan mercun dan asap bunga api berikutan ia mengandungi bahan pencemar udara antaranya sulfur dioksida, karbon dioksida, karbon monoksida dan pelbagai garam logam seperti kadmium, mangan dan aluminium.
Menurutnya, bahan pencemar itu boleh menjejaskan kesihatan manusia seperti gangguan pernafasan, bronkitis, asma, laringitis, radang paru-paru dan rinitis.
"Mereka yang berisiko tinggi adalah mereka yang mempunyai penyakit kronik sedia ada, warga emas dan kanak-kanak. Bukan sahaja manusia, haiwan dan alam sekitar juga turut terjejas dengan bahan pencemar ini.
"Ini yang dibimbangi CAP kerana isu bunga api dan mercun yang jelas menyalahi undang-undang selama ini telah 'dihalalkan' oleh kerajaan pada tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Tambah Mohideen, haiwan juga antara yang terjejas akibat letupan mercun dan bunga api yang kuat.
"Pencemaran bunyi akan menyebabkan banyak haiwan peliharaan terutamanya anjing akan mengalami ketakutan akibat terkejut. Tinjauan yang dibuat mendapati, banyak haiwan peliharaan mengalami ketakutan sehingga menggeletar dan menggigil secara berterusan.
"Ia akan membawa haiwan ini kemurungan sekali gus hilang selera makan dan lama kelamaan akan mati.
Pertubuhan penyelamat hidupan liar mendakwa bunyi bunga api yang kuat akan mengejutkan dan menyebabkan tekanan tinggi kepada burung dan haiwan liar lain menyebabkan mereka meninggalkan sarang mereka," katanya.
Beliau menambah, pencemaran bunyi juga akan mengakibatkan bayi dan kanak-kanak berada dalam keadaan tidak selesa kerana sering terkejut dengan bunyi kuat secara berterusan yang dihasilkan oleh mercun dan bunga api.
Dalam pada itu, Mohideen berkata, konsensus dalam kalangan pakar menyatakan bahawa pencemaran udara bandar yang disebabkan oleh bunga api memberi kesan negatif yang ketara terhadap kualiti udara.
"Antara bahan pencemar yang dikeluarkan, karbon dioksida dan nitrogen oksida adalah gas rumah hijau yang ketara dan menyumbang kepada perubahan iklim serta pemanasan global.
"Oleh sebab itu, mengehadkan penggunaan bunga api bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti udara malah mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan kesihatan awam.
"Pelaksanaan strategi untuk mengawal penggunaan bunga api bertujuan untuk meningkatkan kualiti udara, berpotensi untuk mengurangkan kesan negatif terhadap kesihatan pernafasan manusia bagi individu yang terdedah kepadanya," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28