HUMAN Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat kayuhan dan Majlis Iftar KESUMA pada Sabtu lalu yang dihadiri 100 peserta.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut mencemar duli menghadiri program berkenaan bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Dalam program terbabit, Syed Faizuddin juga berkenan mengurniakan sumbangan tunai bernilai RM1,500 dan bakul makanan kepada tiga keluarga asnaf terpilih.
Selain itu, lima masjid setempat turut menerima sumbangan kewangan bernilai RM10,000 dan edaran 250 bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan di sekitar Kuala Perlis.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar; Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood.