LOS ANGELES - Mangsa terakhir yang terselamat dalam insiden kapal perang USS Arizona karam akibat serangan bom Jepun ke atas Pearl Harbor di Honolulu, Hawaii, meninggal dunia pada usia 102 tahun.
Berita sedih mengenai Lou Conter itu dimaklumkan badan amal yang memberi penghormatan kepada mangsa serangan terbabit, Pacific Historic Parks.
Conter menghembuskan nafas terakhirnya di samping keluarganya di kediaman mendiang di Grass Valley, California pada Isnin.
"Beliau mempunyai kerjaya yang patut dicontohi dalam Tentera Laut dan teguh dalam merayu kepada pihak sekolah, ibu bapa dan rakyat AS setiap hari untuk sentiasa mengingati Pearl Harbour," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pacific Historic Parks, Aileen Utterdyke.
Ketika serangan ke atas Pearl Harbour pada 7 Disember 1941, Conter bertugas sebagai jurumudi dan dia membantu menyelamatkan kelasi lain selepas tentera AS diserang secara mengejut.
Serangan itu menyebabkan AS terbabit dalam Perang Dunia II, merosakkan atau memusnahkan kebanyakan aset tentera yang ditempatkan di pangkalan tentera laut Hawaii dan mengakibatkan kematian lebih 2,000 orang.
Lebih 1,100 orang di kapal USS Arizona meninggal dunia, dengan ramai daripada mereka masih terkubur di kapal karam itu.
Conter kemudiannya menjadi juruterbang dalam Perang Dunia II dan pernah ditembak jatuh sebanyak dua kali, termasuk di luar pantai New Guinea di mana dia dan anak kapalnya mendarat di perairan dipenuhi ikan jerung.
Sebagai pegawai perisikan, Conter menjalankan misi tempur di Korea dan mencipta program survival, rintangan dan bebas (SERE) pertama Tentera Laut.
Mendiang juga adalah penasihat tentera kepada Presiden Dwight Eisenhower, John F Kennedy dan Lyndon Johnson. - AFP
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!