'Kaki membesar lebih 60kg, nak tidur terpaksa meniarap'

Iklan
Keadaan kaki kanan Mohd Zulkifli yang membesar hingga berat lebih 60kg. Pix FB Fadzli Kamal

RAUB - Kehidupan seorang Pembantu Awam Pejabat Perhutanan Daerah Raub, Mohd Zulkifli Zainal, 41, berubah apabila terpaksa menanggung 'beban' lebih 60 kilogram di kaki kanannya sejak dua tahun lalu.

Ia berikutan akibat penyakit untut atau Lymphoedema kronik yang kian membesar dihadapi oleh Mohd Zulkifli.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak hospital sebelum ini mengesahkan dia menghidap penyakit berkenaan berpunca sejenis kuman dalam sungai.

"Mulanya pada 2018 hanya bengkak, rasa sakit-sakit kemudian dua tahun kebelakangan ini ia membesar hingga sudah mencapai berat lebih 60kg, nak tidur pun susah terpaksa meniarap.

Iklan

"Sudah pelbagai ujian dan ubat diambil namun masih belum berkesan hingga saya terpaksa merujuk kepada hospital swasta di Kuala Lumpur.

"Doktor pakar di situ mencadangkan supaya segera menjalani pembedahan membuang daging yang tumbuh secara berterusan itu," katanya di sini pada Selasa.

Iklan

Ujarnya, keadaan itu menyebabkan dia kini terpaksa bergantung sepenuhnya terhadap isterinya, Nurul Shada Masri, 36 dan anaknya, Mohd Afiq Fahmi,15 berikutan segala pergerakannya terbatas.

"Sudah banyak barang berharga termasuk barang kemas isteri dijual untuk menampung kos rawatan setakat ini," tambahnya.

Fadzli (kiri) ketika bertemu Mohd Zulkifli di kediamannya di kuarters Pejabat Perhutanan Daerah Raub pada Isnin.Pix FB Fadzli Kamal

Mohd Zulkifli memerlukan kira-kira RM75,000 untuk kos pembedahan membuang ketumbuhan daging tersebut.

Jelasnya, buat masa ini lebih RM20,000 telah dikumpul dan pembedahan akan segera dilakukan sebaik jumlahnya mencukupi.

"Setakat ini saya ada menerima bantuan daripada kerajaan negeri sebanyak dua kali dan terkini pada semalam (Isnin), RM10,000 disampaikan oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal," katanya lagi.

Fadzli (tengah) menyerahkan sumbangan kerajaan negeri terhadap Mohd Zulkifli dan Nurul Shada.Pix FB Fadzli Kamal

Sementara itu, Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong mengharapkan sumbangan itu dapat meringankan beban selain mendoakan Mohd Zulkifli segera sembuh.

Bagi mereka yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Bank, 7035954322 atas nama Mohd Zulkifli Zainal.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28