RoS lulus pindaan perlembagaan Bersatu berkuat kuasa Isnin

Iklan
Wan Ahmad Fayhsal

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah meluluskan permohonan pindaan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membolehkan parti itu mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, pindaan perlembagaan parti tersebut boleh dijalankan bermula Isnin.

Iklan
Iklan

Menurut Ahli Parlimen Machang itu, langkah seterusnya ialah mengosongkan kerusi mereka untuk pilihan raya kecil (PRK) peringkat Parlimen.

"Alhamdulillah RoS telah lulus permohonan pindaan ini yang membolehkan kami mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, Bersatu dilaporkan meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti itu selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.

Pindaan perlembagaan itu dibuat susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Iklan

Ia membabitkan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).