Polis buru lebih dua individu ada kaitan lelaki Israel

Iklan
Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis sedang mengesan lebih dari dua individu membabitkan rakyat tempatan dan warga asing yang mempunyai kaitan dengan penangkapan seorang lelaki warga Israel yang memiliki enam pucuk pistol.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, identiti individu yang diburu itu adalah berdasarkan maklumat siasatan dan keterangan dari suspek yang ditahan.

Iklan
Iklan

"Setakat ini jumlah tangkapan masih lagi membabitkan lelaki warga Israel sebagai suspek utama dikenali Shalom Avitan, 38, dan pasangan suami isteri warga tempatan berusia 42 dan 40 tahun.

"Apa yang boleh saya nyatakan pada masa ini, kita sedang mengesan lebih dari dua individu yang kita percaya berhubung dengan suspek utama," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, petang tadi.

Iklan

Razarudin berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan pelbagai sudut bagi mengetahui motif sebenar suspek warga Israel itu masuk ke negara ini.

"Sudut siasatan kita (polis) pelbagai untuk mengetahui motif dahulu sekiranya ada pengakuan daripada suspek sendiri atau ada maklumat lain daripada sumber luar.

Iklan

"Dalam siasatan ini juga terdapat lebih dua individu dalam radar polis terdiri daripada warga tempatan dan asing yang disyaki mempunyai kaitan dengan pemilikan senjata api," katanya.

Selain motif, Razarudin berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk kemungkinan suspek adalah ejen risikan atau pengintip.

Bagaimanapun, beliau tidak boleh mendedahkan hasil siasatan itu kerana dikhuatiri boleh mengganggu dan merosakkan siasatan polis.

Menurutnya, polis sudah merakam keterangan 23 individu bagi membantu siasatan berkaitan kes itu

"Kertas siasatan yang lengkap akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut," katanya.

Pada Jumaat, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, polis turut menemui enam pistol termasuk SIG Sauer, Smith dan Wesson serta Glock selain 200 butir peluru susulan penahanan suspek warga Israel di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini.

Turut dijumpai, dua pasport dimiliki lelaki berkenaan iaitu pasport Perancis yang digunakannya untuk masuk ke Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu serta satu pasport Israel.

Melalui soal siasat, suspek mendakwa datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga, namun polis tidak mempercayai dakwaan itu.

Pada Sabtu, media melaporkan sepasang suami isteri diberkas polis di bazar Ramadan dekat Kuala Selangor pada Jumaat dipercayai membeli senjata api di Thailand sebelum menjualnya kepada suspek.

Menurut sumber, pasangan itu dipercayai membeli senjata itu dari Thailand sebelum diserahkan kepada suspek.

Dua suspek masing-masing berumur 42 dan 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota JSJ Bukit Aman di bazar Ramadan di Kuala Selangor pada jam 7.15 malam.

Polis turut menemukan sepucuk pistol dalam sebuah beg galas dalam kereta Honda Jazz di kediaman mereka yang terletak di Kuala Selangor.