PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa membuat sehabis baik dengan mengambil pelbagai langkah dalam mengatasi masalah kos sara hidup, termasuk menangani isu kartel untuk menurunkan harga beras import.
Justeru, beliau berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi dan perubahan sistem pencen tidak seharusnya dipertikaikan sebagaimana yang dilakukan sesetengah Ahli Parlimen, dengan alasan ada juga Ahli Parlimen yang tergolong dalam kalangan B40.
"Sepertimana kos sara hidup.. saya tak pernah nafikan bahawa kita masih menghadapi cabaran, tapi kita buat sebaiknya, lawan kartel.
"Dia (Ahli Parlimen) kata tak boleh kerana Ahli Parlimen ada yang B40. Itu cakap apa? Gaji puluh ribu dengan elaun, masih B40. Dia ni cakap dari benua mana?" katanya ketika berucap pada perhimpunan Kementerian Kewangan di sini ada Selasa.
Sementara itu, Anwar berkata, melawan kartel tidak pernah dilakukan sebelum ini, namun ia perlu dilakukan sebagai satu daripada usaha untuk menyelamatkan negara daripada amalan curang.
"Saya tidak katakan saya sudah sempurna, saya juga ada kelemahan tetapi sedaya upaya saya betulkan kesilapan lampau.
"Ini tidak mudah kerana serangan daripada tauke-tauke besar, orang yang sudah kumpul kekayaan berbilion-bilion itu kuat. Dia mempengaruhi media sosial, boleh beli ramai orang melalui Facebook, TikTok dan sebagainya, dia memang upah," katanya.
Anwar berkata, tidak ada makna bagi beliau untuk bergelar ketua dan pemimpin jika tidak sanggup mengadapi risiko. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28