KUALA LUMPUR - Polis tidak menerima laporan daripada seorang pemuda Palestin yang berada di negara ini yang mendakwa bimbang keselamatannya selepas dihubungi individu berasal dari Israel.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini, polis tidak menerima laporan daripada lelaki tersebut.
"Saya sudah semak, tiada laporan daripada lelaki tersebut sehingga hari ini, macam mana kita mahu siasat, namun kita telah menghubungi lelaki itu.
"Kita mendapati lelaki berkenaan memuat naik di TikTok mendakwa dirinya tidak selamat," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, pada Selasa.
Pada Ahad, lelaki warga Palestin, Yousuf Abuassi, 28, dilaporkan berkata, dia pernah menerima ugutan daripada beberapa warga Israel kerana sering memuat naik berkenaan penindasan di Gaza.
Dia mendakwa menerima ugutan berkenaan bulan lalu sebelum membuat laporan polis.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan keutamaan keselamatan kepada semua warga yang berada di Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan berkata, tanggungjawab polis adalah menjaga keamanan dan ketenteraman.
Tambah beliau, masyarakat juga dinasihat agar tidak membuat sebarang spekulasi atau persoalan yang dianggap tidak munasabah yang mewujudkan keraguan kepada pasukan polis.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28