KUALA LUMPUR - Penghantaran semula kontena mengandungi sisa plastik yang dicemari bahan buangan terjadual ke negara pengeksport mencatatkan jumlah amat memberangsangkan, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin.
Bagaimanapun, beliau berkata, statistik dan maklumat penuh mengenai perkara itu hanya akan diumumkan beliau pada sidang media di Pulau Pinang, 20 Januari ini.
"Apa yang kita buat ialah dalam sejarah dunia ini adalah kali pertama secara besar-besaran satu negara memulangkan balik kontena sisa plastik ini kepada negara asal.
"Walaupun kita telah mengambil masa yang panjang tapi kita telah mencapai apa yang tidak dicapai negara lain," katanya selepas melawat Wisma Bernama sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.
Isu pengimportan bahan sisa plastik tercemar menjadi bualan hangat tahun lepas sehingga Bee Yin mengisytihar 'perang plastik' bagi memerangi lambakan sampah yang tidak boleh dikitar dibawa masuk ke negara ini.
Kementerian menerusi Jabatan Alam Sekitar sebagai ‘Competent Authority to Basel Convention’ telah mengambil tindakan tegas mengarahkan penghantaran semula ratusan kontena yang mengandungi sisa plastik disyaki dicemari dengan buangan terjadual ke negara asal.
Bagaimanapun, kerajaan Malaysia sebelum ini menegaskan tidak akan membayar walau satu sen pun kos menghantar kontena berisi sisa plastik kembali ke negara asalnya.
Sebanyak 187 negara termasuk Malaysia menerima pakai pindaan Konvensyen Basel, perjanjian yang dimeterai pada 1989, bagi mengurangkan pergerakan sisa plastik dan berbahaya merentasi sempadan negara. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Sisa asing cemari bumi Malaysia
Malaysia hantar pulang kontena bawa sisa plastik tidak patuhi syarat