Aidilfitri: JPJ keluarkan 7,473 notis kesalahan jalan raya

Iklan
Lokman (depan) melihat pemeriksaan sebuah lori di Kawasan Rehat & Rawat (RNR) Pandan, Lebuhraya EDL, Johor Bahru, pada Selasa

JOHOR BAHRU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 7,473 notis atau 25 peratus yang melibatkan pelbagai kesalahan pada hari pertama Ops Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 dan cuti persekolahan yang bermula 1 sehingga 20 April ini.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Undang-undang JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, kesalahan tersebut dikesan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 29,760 buah kenderaan dalam operasi tersebut sepanjang Isnin.

Iklan
Iklan

"Notis pelbagai kesalahan dikeluarkan atas kegagalan mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya yang ditetapkan. Ini melibatkan sembilan kesalahan utama yang menjadi punca kemalangan maut seperti tidak mematuhi had laju dan tidak mematuhi Isyarat lalu lintas lampu merah.

"Selain itu melibatkan kesalahan memotong di garisan berkembar; memandu di lorong kecemasan; memotong barisan; menggunakan telefon bimbit; tidak memakai tali pinggang dan topi keledar; memandu kenderaan berat di lorong laju dan lebih muatan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Operasi Khas Bulan Perayaan Tahun 2024 di Kawasan Rehat & Rawat (RNR) Pandan, Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di sini pada Selasa.

Turut hadir Pengarah JPJ Negeri Johor, Azmil Zainal Adnan.

Iklan

Lokman berkata, semua kesalahan tersebut tidak akan diberikan diskaun bayaran dan mereka perlu membayar denda maksimum RM300 bagi setiap kesalahan.

Katanya, operasi tersebut yang melibatkan 2,000 anggota dan pegawai JPJ seluruh negara bertujuan meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

Operasi berkenaan juga memfokuskan kepada pengesanan, pematuhan dan penilaian pematuhan syarat-syarat dan peraturan keselamatan, serta kenderaan di pandu dengan selamat, kata Lokman.

Jelasnya, ini berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-kaedah di bawahnya.