SEPANG - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi bayangan calon DAP akan mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang bakal diadakan kelak.
Menteri Besar Selangor itu berkata, beliau difahamkan Barisan Nasional (BN) yang bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri itu juga tidak meminta untuk bertanding di kerusi berkenaan, menjadikan pemilihan calon lebih mudah diputuskan oleh pimpinan PH.
"PH akan mengekalkan formula sedia ada, iaitu kekal dengan calon DAP untuk mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu.
"BN pun tak ‘demand’, formula PH pun saya rasa tidak berubah. Jadi saya percaya DAP masih akan bertanding di kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Galeri Jualan NCT Smart Industrial Park di sini pada Selasa.
Beliau berkata, PH akan bekerja sehabis baik untuk mempertahankan kerusi berkenaan bagi meneruskan legasi kepimpinan Lee Kee Hiong serta kesinambungan program pembangunan yang direncana mendiang sejak memenangi kerusi itu pada 2013.
Katanya, PH juga tidak akan mengambil mudah cabaran Perikatan Nasional (PN) yang awal-awal lagi menyatakan keyakinan untuk merampas kerusi berkenaan selepas kematian Kee Hiong yang menyandang kerusi itu selama tiga penggal.
Kee Hiong, 58, meninggal dunia pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Kee Hiongmenewaskan calon PN Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi urusan berkaitan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Selangor pada 4 April ini. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28