SEPANG - Kementerian Pengangkutan yakin Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dapat disiapkan mengikut jadual pada Disember 2026 dan beroperasi bermula Januari 2027 sekali gus menjimatkan masa perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur dalam masa empat jam.
Menteri berkenaan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek berkenaan telah mencatat kemajuan sebanyak 64 peratus setakat Mac 2024 bagi keseluruhan jajaran yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
"Projek ECRL telah memasuki fasa baharu pembinaan sejak 2023, dengan kerja-kerja infrastruktur juga merangkumi pemasangan rasuk jejambat, pemasangan landasan, pembinaan stesen dan pembinaan depot kereta api.
"Sepanjang 665 kilometer (km), projek infrastruktur kebangsaaan ini merangkumi lebih 1,900 tapak kerja dan hampir 650 sedang aktif dalam pelbagai aktiviti pembinaan,” katanya semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Ramadan 2024 bersama warga Kementerian Pengangkutan, projek ECRL dan pihak berkepentingan ECRL, di sini pada Selasa.
Katanya, kerja-kerja pengorekan Terowong Berkembar Genting sepanjang 16.39km dengan kombinasi kaedah"gerudi dan letup” beserta mesin pengorek terowong telah mencapai kedalaman melebihi 8km bagi kedua-dua bahagian terowong.
"Ini bermakna Terowong Berkembar Genting dijangka dapat mencapai penembusan pada suku kedua 2025 sekali gus menjadikannya terowong rel terpanjang di Asia,” katanya.
Anthony berkata, kerja-kerja jambatan projek ECRL juga berjalan lancar dengan pemasangan rasuk jejambat untuk 155 jambatan daripada jumlah keseluruhan 219 jambatan, telah berjaya disempurnakan setakat Februari 2024.
Beliau berkata, kerja-kerja pemasangan landasan sejauh 92km telah siap pada akhir Februari 2024, iaitu sebulan lebih awal daripada yang dijadualkan.
Justeru, mesin pemasangan trek model ‘CCPG-500A’ yang canggih serta julung kali diguna pakai dalam industri rel di Malaysia, telah mula melaksanakan kerja-kerja pemasangan landasan ECRL bagi fasa kedua dari Kuantan Port City ke Maran di Pahang sejak 9 Mac lepas.
"Kerja-kerja pemasangan landasan fasa kedua sepanjang 97km ini dijangka siap pada Jun 2024, dan seterusnya membolehkan kerja-kerja pemasangan landasan dijalankan antara Dungun, Terengganu dan Kota Bharu.
"Selain itu, kerja-kerja pemasangan sistem elektrifikasi untuk kereta api ECRL akan bermula seawal Mei tahun ini di kawasan Stesen Cherating, Pahang dan disusuli dengan lokasi di mana pemasangan landasan telah siap,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28