Aniq Kasdan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024

Iklan
Aniq Kasdan bakal galas cabaran negara di Sukan Olimpik Paris 2024. (Gambar kecil: Ayub)

[DIKEMAS KINI] JAGUH angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan mengesahkan slot secara automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Perancis yang menyingkap tirai pada Julai depan.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat ketika berkongsi perkhabaran itu berkata, Aniq mengesahkan slot itu selepas mengakhiri cabaran di kedudukan kelapan keseluruhan selepas berakhirnya Kejohanan Piala Dunia IWF di Phuket, Thailand.

Iklan
Iklan

Jelasnya, Aniq yang bertanding dalam Kategori 61 kilogram (kg) berjaya mengangkat beban secara keseluruhan 290kg (125kg snatch, 165kg clean & jerk)

"Secara keseluruhan secara ranking Olimpik, beliau telah menduduki tempat kelapan yang mana 10 atlet secara ranking layak automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024. Senarai rasmi akan dikeluarkan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa dalam masa dua minggu lagi.

Iklan

"PABM akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi melihat sama ada atlet boleh menjalani latihan luar negara atau pusat latihan tempatan sebelum ke temasya Paris 2024 pada Ogos depan,” katanya.

Aniq pemegang rekod kebangsaan dalam kategori 61kg dengan angkatan 296kg yang dilakukannya di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II Qatar, Disember lalu.

Iklan

Dalam pada itu, Ayub juga berterima kasih kepada sekretariat Road To Gold (RTG) yang telah membantu PABM dalam mempersiapkan atlet bagi menghadapi kejohanan kelayakan tersebut.

"PABM berterima kasih kepada Sekretariat RTG yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria serta Ketua Pengarah MSN kerana telah memberikan bantuan awal untuk persiapan atlet.

"Marilah kita bersama-sama berdoa, agar Malaysia memperoleh pingat dalam sukan angkat berat di Sukan Olimpik Paris,” katanya.

Sebagai rekod, acara angkat berat bakal berlangsung di South Paris Arena, Paris, Perancis bermula 7 hingga 11 Ogos.

Jelas Ayub lagi, Aniq menyertai dua kejohanan wajib dan tiga kejohanan pilihan bagi dalam misi melayakkan diri ke temasya sukan dunia tersebut.

"Kejohanan wajib adalah di Kejuaraan Dunia IWF di Riyadh pada 4 hingga 17 September lalu dan Piala Dunia IWF di Phuket pada 31 Mac hingga 11 April.

"Kejohanan pilihan yang telah disertai adalah di Kejuaraan Asia Jinju, Korea Selatan (3 hingga 13 Mei 2023), Kejohanan Grand Prix I Paris di Havana Cuba Jun lalu dan Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II Qatar, Disember lalu,” katanya.

Sebagai rekod, selain Aniq cabaran negara di Phuket digalas Muhamad Aznil Bidin dalam kategori 61 kilogram (kg) manakala Muhammad Erry Hidayat dalam kategori 73kg.

Tiga badang negara tersebut dibantu jurulatih kebangsaan, Edmund Yeo Thian Chuan dan pengurus pasukan, Amiril Hamizan Ibrahim.

Syarat kelayakan ke Paris 2024 dalam acara angkat berat adalah 10 atlet terbaik ranking dunia akan layak secara automatik ke temasya Olimpik.

INFO

Atlet angkat berat kategori 61 kilogram ke Paris 2024

1. Li Fabin (China) 314kg

2. Morris Hampton Miller (Amerika Syarikat) 303kg

3. Massidda Sergio (Itali) 302kg

4. Eko Yuli Irawan (Indonesia) 300kg

5. ⁠Ceniza John Febuar (Filipina) 300kg

6. Theerapong Silanchai (Thailand) 299kg

7. Mishvelidze Shota (Georgia)298kg

8. Mohamad Aniq Kasdan (Malaysia) 296 kg

9. Trinh Van Vinh (Vietnam) 294 kg

10. Dimov Ivan (Bulgaria) 293kg

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28