'Jiwa lebih tenang selepas peluk Islam'

Iklan
Kelly Y Kristiany Nur Nasuha

ALOR GAJAH - Meskipun keluarga kurang senang dengan keputusannya dan suami memeluk Islam lima tahun lalu, namun ujian itu tidak pernah membuatkan wanita ini kembali ke agama asal.

Ibu kepada tiga orang anak dari Masjid Tanah, Kelly Y Kristiany Nur Nasuha Marcos, 48, berkata, pada mulanya hasrat untuk bertukar agama diluahkan oleh suaminya yang beberapa kali bermimpi mengenai tulisan Jawi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun mengakui agak berat hati untuk meninggalkan agama asal, kerana kasih dan sayang kepada suami dia akhirnya mengikut tindakan suaminya yang merupakan pekerja kedai perabot melafazkan kalimah syahadah pada 2018.

Katanya, sejak dari itu dia tidak putus berdoa agar kesemua anaknya berusia 13,17 dan 20 tahun mendapat hidayah dan turut mengikut jejak langkah mereka memilih Islam sebagai pegangan.

Iklan

"Dulu kami kerap bergaduh dalam keluarga, dan sekarang alhamdulillah selepas memilih Islam kehidupan rumah tangga saya lebih tenang dan bahagia," katanya ketika ditemui pada Program Berbuka Puasa Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh anjuran bersama Pertubuhan Akademi Al Bayan (Al Bayan) di Masjid Tanah di sini, pada petang Isnin.

Nur Mohammad Hadi (kiri) mengiringi Ab Rauf (tiga dari kiri) bertemu penerima asnaf pada Program Berbuka Puasa Ketua Menteri Melaka bersama Pertubuhan Akademi Al Bayan di Masjid Tanah.

Tambahnya, usaha yang dilakukan Al Bayan dalam membantu golongan mualaf perlu dicontohi supaya saudara baharu lebih tabah melalui pelbagai cabaran kehidupan sebagai seorang muslim.

Iklan

"Bersyukur ada juga prihatin dengan golongan mualaf, sekurang-kurangnya sumbangan wang dapat meringankan sedikit beban kerana saya tidak menjual makanan meatball di pantai sepanjang Ramadan.

"Selain bantuan kewangan Al Bayan juga antara pihak yang sentiasa memberi sokongan untuk terus mempelajari dan mendalami Islam dan kita tak rasa terpinggir," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Al Bayan, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, pihaknya memperuntukkan kira-kira RM100,000 bagi membantu golongan mualaf dan asnaf sepanjang Ramadan sekali gus mengimarahkan bulan penuh keberkatan ini.

Katanya, peruntukan hasil sumbangan orang ramai itu telah disalurkan kepada 500 penerima di seluruh negara melalui wang tunai, kit makanan, majlis berbuka puasa dan pakaian.

"Bantuan ini diberikan secara menyeluruh bukan sahaja di negeri ini malah di negeri-negeri lain tidak ketinggalan pembelian baju sekolah untuk anak-anak dan pakaian raya,” katanya.