SHAH ALAM - Seorang wanita mendakwa trauma selepas menjumpai bangkai cicak dalam bungkusan minuman yang dibelinya di tepi jalan.
Menerusi perkongsian video di platform TikTok milik @azie_anjeeee, pada awalnya wanita dikenali dengan nama Azie Aziz itu membeli air minuman tersebut untuk tujuan berbuka puasa.
"(Saya) beli air balang tepi jalan area Klang sebab teringin sangat minum air keladi. Sudah tuang dalam dua bekas, ada baki sedikit lagi dalam plastik.
"Saya tergerak hati hendak tuang semua dalam cawan,” katanya dalam hantaran video tersebut pada Ahad.
Ujar Azie, dia terkejut apabila mendapati haiwan spesies reptilia itu berada dalam plastik minuman berkenaan yang pada awalnya disangkakan cincau.
"Ingat cincau hendak gelongsor dalam cawan, rupanya cicak yang dah hampir reput. Kecoh satu dapur saya menjerit, geli gila.
"Trauma dah nak beli air balang. Beli air keladi ‘percuma’ cicak,” ujarnya.
Sehingga Selasa, hantaran video berkenaan meraih 1.7 juta tontonan dan 40,500 tanda suka di platform TikTok.
Rata-rata netizen tidak ketinggalan turut menceritakan pengalaman masing-masing berhadapan dengan situasi sama menerusi ruangan komen video tersebut.
Salah seorang pengguna TikTok, @hot.milo88 berkata, ahli keluarganya juga pernah membeli dan terminum air yang terdapat bangkai cicak di dalamnya.
"Baru sembang dengan adik semalam. Dia beli air bungkus balik-balik sedut air ada cincau.
"Dia pun beria minum kemudian baru teringat mana ada cincau dalam air. Rupanya cicak yang sudah terburai perut,” menurutnya.
Seorang lagi pengguna TikTok, @sheqahh pula berkata, makanan dibelinya di bazar Ramadan baru-baru ini terdapat telur lalat.
"Saya beli nasi ayam kunyit dekat bazar semalam, percuma telur lalat dekat ayam saya ya,” ulasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!