Konon rancang nak berjimat, tapi akhirnya boros juga

Iklan
Gambar hiasan

DALAM masa seminggu dua ini Merak Jalanan lihat ramai antara kawan-kawan sibuk buat persiapan raya.

Cuma bezanya ada sesetengah geng Merak Jalanan pilih untuk berbelanja secara atas talian saja dan bukan lagi berkunjung ke butik atau bazar Aidilfitri.

Iklan
Iklan

Sebenarnya kalau kita tinjau-tinjau baju raya di platform kedai atas talian ini memang lagi rambang mata berbanding ke kedai pakaian secara fizikal.

Apa taknya, dengan macam-macam rekaan, pilihan jenis kain dan paling penting banyak yang murah-murah.

Iklan

Tapi sebelum bercerita lanjut, Merak Jalanan nak imbas sedikit pasal sembang-sembang pra raya bersama rakan-rakan minggu lepas.

Ada dua tiga orang rakan Merak bersungguh-sungguh cakap tahun ini mereka tak nak berbelanja besar atau boros dalam buat persiapan rakyat.

Iklan

Alasannya kos sara hidup sudah tinggi, belanja dapur sudah naik dan banyak benda lain lagi nak kena bayar.

Lagipun kata mereka harga baju raya yang mereka lihat di kedai-kedai sudah naik harga. Mahal!

Tapi hujung minggu lepas bila gaji sudah masuk, nada percakapan mereka sudah bertukar.

Dari topik nak jimat belanja tiba-tiba berapa pasang baju raya, corak tudung-tudung yang cantik-cantik pula jadi tajuk perbualan.

Ada seorang rakan Merak Jalanan mengaku tahun ini dia terlebih beli baju raya; alasannya tak perasan berapa pasang sudah beli sebab ‘shopping kat online’ katanya mudah leka.

Yang seorang lagi pula, sebelum ini mati-matian tak mahu dah tukar beg tangan sempena raya ini sebab baru saja dua bulan lepas beli yang baru; tewas juga bila ‘terpandang’ promosi murah beg tangan berjenama di atas talian.

Bermula daripada keinsafan tak mahu berbelanja besar lagi untuk raya sebagai isu ekonomi, tiba-tiba dek kerana nak bergaya akhirnya mereka tewas.

Bila Merak Jalanan cuba-cuba tegur keterujaan mereka berbelanja, terus mereka tepis dengan alasan klise; raya kan setahun sekali saja. Tapi mereka lupa sebenarnya mereka boros lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28