LEBIH kurang seminggu lebih lagi seluruh umat Islam akan merayakan hari kemenangan iaitu Hari Raya Aidilfitri sempena kejayaan sebulan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.
Pastinya kebanyakan kita kini sudah bersiap sedia untuk menyambut Syawal atau sekurang-kurangnya sedang sibuk membuat persiapan menantikan ketibaan hari lebaran nanti.
Keriangan dan keceriaan mula berputik dalam hati masing-masing kerana teruja untuk merayakan hari penuh keberkatan.
Namun kita juga perlu merenung lebih jauh, mengingati atau mengenangkan nasib saudara seagama dengan kita nun jauh di bumi penuh bergolak; Palestin.
Bagi mereka 1 Syawal tahun ini mungkin jauh berbeza atau lebih dahsyat daripada tahun-tahun sebelumnya.
Jika sebelum ini mereka meraikannya dalam serba kekurangan tapi tahun ini rakyat Palestin akan menyambut hari raya dalam keadaan amat dahsyat dengan kesan kemusnahan, kematian ahli keluarga, kebuluran, daif, menyedihkan, tragis dan macam-macam lagi.
Jika kita bakal berseronok dengan bunyi letupan mercun dan meriahnya warna wani bunga api, saudara kita di Palestin pula akan menyambut Syawal dengan gegaran ledakan bom yang mengerikan dan menakutkan.
Jika kita mungkin sudah merancang hidangan sedap-sedap di pagi raya, saudara kita di sana pula sedang kebuluran dan terpaksa bersusah payah mencari hatta secebis gandum untuk dibuat roti.
Jika anak-anak kita juga sudah tak sabar untuk menyambut hari raya dengan penuh tawa, kanak-kanak Palestin pula akan terus menangis dan menjerit dalam 1001 penderitaan pada Syawal nanti.
Dengan kegilaan dan kerakusan rejim Zionis mengarah serta meneruskan agenda genosid mereka, segenap inci bumi Palestin berterusan dilanyak dan dihancurkan saban hari.
Harapan untuk melihat rakyat Palestin menyambut hari lebaran dengan penuh kegembiraan dan keseronokan semakin jauh daripada menjadi kenyataan.
Bagi kita raya disambut atas kemenangan menjalani sebulan ibadah puasa.
Tapi untuk rakyat Palestin mereka meraikan pelbagai kemenangan; menang kerana melawan hawa nafsu, menang kerana terus bertahan daripada kekejaman Israel, menang kerana sehingga hari ini keimanan mereka dan kewujudan bumi Palestin masih teguh sehingga saat ini.
Salam 1 Syawal Untukmu Palestin!
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28