TANGKAK - [DIKEMAS KINI] Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Naib Long, Kampung Padang Lerek 1, Tangkak, malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan sekitar jam 10 malam pada Selasa.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Wira yang dalam perjalanan ke Taman Tangkak Jaya telah bertembung dengan motosikal jenis Y125 yang datang dari arah bertentangan ketika memasuki Simpang di Jalan Naib Long, berhampiran dengan simpang Dewan Putra.
"Akibatnya, motosikal jenis Y125 telah terlanggar bahagian hadapan sebelah kiri kereta Proton Wira tersebut.
"Penunggang motosikal yang merupakan seorang lelaki berusia 15 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta berusia 53 tahun yang juga seorang peniaga cedera di bahagian tulang belakang dan sedang mendapat rawatan di Hospital Tangkak," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP), Mohd Aminuddin Muhamad Rawi berkata, satu pasukan keluaran operasi (PKO) telah dihantar ke lokasi.
"Setibanya PKO ke lokasi, didapati kemalangan berkenaan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dengan sebuah kereta Proton Wira dinaiki tiga individu.
"Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala tiga mangsa melibatkan seorang lelaki dewasa dan dua perempuan dewasa dalam Proton Wira mengalami kecederaan, namun tidak tersepit.
"Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital, sementara mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28