BAITULMAQDIS - Lebih banyak protes anti-kerajaan diadakan Selasa di Israel dengan peserta demonstrasi menggesa penyingkiran Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan pembebasan semua tebusan yang berada dalam tawanan di Gaza.
Sejumlah penunjuk perasaan anti-kerajaan melanggar sekatan keselamatan berhampiran kediaman Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di sini, pada Selasa.
Satu rakaman video di media sosial menunjukkan berlaku konfrontasi antara polis dan Ayala Metzger iaitu menantu kepada salah seorang tebusan yang ditahan di Gaza.
Media tempatan turut melaporkan ribuan orang berkumpul di hadapan Knesset iaitu Parlimen Israel di Baitulmaqdis, menandakan yang ketiga daripada gelombang protes selama empat hari.
Ia merupakan protes anti-kerajaan terbesar sejak perang Israel dengan Hamas bermula pada 7 Oktober.
Einav Zangauker, ibu kepada seorang tebusan yang ditahan di Gaza mengkritik Netanyahu, dengan berkata:"Engkau yang menyebabkan malapetaka. Engkau telah gagal. Engkau yang memelihara dan mengembangkan Hamas.
"Ia adalah kesalahan engkau sehingga anak saya, Matan berada dalam kurungan dan diseksa di sana. Engkau melancarkan kempen melawan saya, terhadap keluarga dan terhadap orang Israel. Penyokong engkau panggil kami pengkhianat (tapi, sebenarnya) engkau pengkhianat. Engkau mengkhianati rakyat, pengundi, rakyat Israel," katanya.
Imej dari Baitulmaqdis menunjukkan orang ramai memegang papan tanda menuduh kerajaan Israel"meninggalkan" tebusan serta"menghasut dan merancang" perang. - Awani/Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28