IPOH - Walaupun sibuk dengan tugasan rasmi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim prihatin dengan keperluan penduduk di Tambun dan segala permasalahan yang diutarakan diselesaikan segera.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perkara itu menjadi keutamaan Ahli Parlimen Tambun tersebut supaya semua keperluan dan kebajikan penduduk di kawasannya terjaga.
"Setiap minggu beliau akan tanya perkembangan dan apa yang berlaku di lapangan. Semua maklumat mengenai isu-isu di Tambun diterima oleh beliau.
"Kadang-kadang ada juga orang tag di media sosial dan daripada situ beliau dapat pantau isu-isu yang dibangkitkan dan kami akan diarahkan untuk lakukan tindakan segera," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Beliau berkata demikian sempena majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim di Rumah Anak Yatim An Nur Maisarah dan penyerahan kotak Rahmah kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parlimen Tambun.
Muhammad Kamil berkata, Anwar yang juga Menteri Kewangan sentiasa mengingatkan pegawai-pegawai khasnya termasuk beliau sendiri turun padang memastikan kelompok yang memerlukan tidak tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya.
"Contoh hari ini (Selasa), kita ambil kesempatan menyantuni anak yatim dan asnaf serta rumah-rumah kebajikan. Perdana Menteri mahu semua kelompok ini tidak diketepikan atau disisih daripada bantuan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, dalam program berkenaan, mereka turut berkesempatan menyantuni anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Meru Raya dan mengadakan Ziarah Kasih Madani ke 10 rumah di Meru 2C dan Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan.
Katanya, pelaksanaan pelbagai bentuk sumbangan dilakukan secara berterusan dan menyeluruh bukan sekadar untuk Ramadan dan Aidilfitri sahaja.
"Ini adalah tekad dan amanat Perdana Menteri memastikan akan ada bantuan yang diperuntukan khusus kepada mereka yang memerlukan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28